Projek Perlis Inland Port akan bermula
RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menzahirkan sukacita apabila projek pembangunan Perlis Inland Port (PIP) yang dirancang sejak 2014 akhirnya akan dilaksanakan.
Baginda bertitah, sejak di peringkat perancangan telah dilakukan pelbagai langkah dan tindakan telah diambil sama ada di peringkat kerajaan negeri mahupun Pusat bagi memastikan perancangan ini menjadi kenyataan.
“Akhirnya, alhamdulillah beta dapat bersama-sama menyaksikannya pada hari yang bersejarah ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat melancarkan Projek Pembangunan PIP di Chuping Valley Industrial Area (CVIA) hari ini.
Berkenan berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.
Baginda bertitah, semoga pelaksanaan projek PIP ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Projek ini akan dapat melonjakkan prestasi ekonomi dan pembangunan negeri bagi mencapai sasaran Perlis Negeri Bandaraya menjelang 2030,” titah baginda.
Baginda juga menzahirkan sukacita kerana dengan pelaksanaan projek PIP ini akan mengubah landskap ekonomi di Perlis.
“PIP dan CVIA adalah dua projek mega yang saling melengkapi bagi memberikan impak ekonomi dalam sektor perindustrian dan juga logistik,” titah baginda.
Baginda bertitah, sekaligus projek mega ini akan mengubah suasana khususnya di kawasan Chuping dan Padang Besar yang dahulunya kawasan pertanian.
“Beta dimaklum bahawa PIP ini merupakan sinergi awam dan swasta di mana pihak Kerajaan memperuntukkan RM318.0 juta bagi tujuan pembangunan infrastruktur luaran dan RM1.2 bilion daripada pelaburan swasta bagi pembangunan kawasan operasi,” titah baginda.
Baginda bertitah, semoga jalinan kerjasama pihak kerajaan dan swasta dapat diteruskan dan ditingkatkan bagi memberi manfaat kepada semua pihak khususnya rakyat negeri Perlis.
Titah baginda, sudah pasti pembangunan projek ini juga akan membuka banyak peluang pekerjaan daripada pelbagai bidang serta limpahan rantaian ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Beta berharap rakyat Perlis dapat mengambil peluang ini untuk turut serta menjadi sebahagian daripada pembangunan PIP bagi meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan diri,” titah baginda. – SM