Rencah Hidup

Kenapa Vlogger Kata Kampung Sapit Unik? Sebab Ia Wujud Di Atas Awan!

Kampung Sapit, kira-kira dua jam perjalanan dari Kuching, terletak kira-kira 1,000 meter dari aras laut, menawarkan panorama indah pemandangan dari ‘atas awan’ bagi yang inginkan percutian – tidak berapa jauh dari bandar raya Kuching.

Mungkin tidak ramai yang akan menyangka dari kawasan tinggi seindah ini, capaian internet tetap tersedia, namun inilah hakikatnya, dari kawasan ‘tinggi’ ini orang ramai masih boleh menghantar gambar-gambar menarik, menyiarkan video secara langsung, dan sebagainya.

Ketika ini terdapat kira-kira lapan tapak perkhemahan di kawasan komuniti Bidayuh ini menawarkan pemandangan indah dari aras cukup tinggi di Borneo ini.

Pemilik kawasan perkhemahan Kiyau Campsite, Julia Ridang memberitahu Bernama penambahbaikan telekomunikasi di kawasan berkenaan sejak kira-kira lima tahun lepas banyak membantu pelawat, serta penduduk sekitar, terutama kelompok usahawan seperti beliau.

“Line ada, senang untuk tetamu yang datang ke sini bercuti dan masih ingin bekerja. Saya juga senang berurusan untuk promosi tempat saya. Ada tower (menara) di sini, buat mungkin dalam lima atau enam tahun lepas, cuma ‘piringnya’ kurang…internet ada, tapi ‘tenggelam-timbul’, masih kurang memuaskan. Kalau di kawasan kampung itu ada juga yang tak dapat line, cuma lebih baik dari dulu yang langsung tak ada,” katanya.

Selain itu jalan yang menghala ke puncak Bukit Kiyau juga baru-baru ini telah dinaik taraf, menjadikan ia lebih mudah untuk diakses.

“Dari jalan besar, Jalan Puncak Borneo ke kawasan kampung dan ‘campsite’ saya ni ada lebih kurang 3.5 kilometer. Dulu jalan sini cuma batu-batu dan simen, sekarang sudah ditar, dalam tahun 2018 siap. Kalau dulu susah, sebab semuanya di bawah, nak hantar orang sakit pun susah, sebab dulu tak boleh nak bawa kereta turun bawah,” katanya.

Katanya beliau percaya dengan prasarana yang lebih baik, pelancongan boleh menjadi sumber pendapatan baharu kepada penduduk di sini, sekali gus menampilkan peluang pekerjaan baharu untuk diterokai.

“Di sini elektriknya masih pakai generator dan solar, air pula dari bukit dan tangki. Jadi kalau semua ini tidak menjadi masalah kemudian, lebih mudah untuk menguruskan kawasan-kawasan pelancongan. Di sini juga selain pemandangan cantik, banyak laluan untuk pejalan kaki dan juga air terjun, kalau pengunjung selesa kita yakin ramai yang akan datang berkali-kali,” katanya.

Tidak jauh dari tapak perkhemahan beliau terdapat kira-kira 70 rumah, kebanyakannya masih mengekalkan seni bina tradisi, dan ada antaranya diperbuat daripada buluh, berselang-seli dengan binaan rumah berdindingkan batu-bata dan konkrit.

Seorang ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Per Paling, 65, berkata perkampungan kawasan itu telah wujud sejak sekian lama, dan beliau yang dilahirkan di situ adalah generasi kedua keluarganya.
“Orang sini kebanyakkannya menanam lada, padi bukit dan sayur-sayuran. Tapi itulah, sejak dari dulu sehingga sekarang elektrik dan air belum ada sambungan. Jalan ke kampung ini pun baru siap dalam tiga, empat tahun,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button