Ekonomi

53% pemilik rumah rancang pelaburan hartanah menjelang 2023

 PropertyGuru Malaysia telah mengeluarkan Kajian Sentimen Pengguna setengah tahun bagi H1 2022, yang mendapati rakyat Malaysia melihat hartanah sebagai lindung nilai terhadap inflasi.

Kajian itu mendapati 53 peratus pemilik rumah merancang untuk membeli hartanah tambahan dalam tempoh satu tahun akan datang dan mengekalkan hartanah sedia ada telah menyatakan bahawa pembelian tersebut adalah atas sebab pelaburan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, inflasi negara bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 2.5%, berbanding negatif 1.2% bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

Pengurus Negara, Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Shylendra Nathan  berkata: “Dengan peningkatan inflasi ketika ekonomi mula pulih daripada pandemik, kami percaya lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada pasaran perumahan yang menawarkan pilihan pelaburan yang lebih menarik, menjadikannya sebagai alternatif yang baik kepada pasaran saham yang tidak menentu.

Tambah beliau: “Kajian Sentimen Pengguna kami juga mendapati lebih separuh daripada jumlah responden (55%) menjangkakan harga hartanah akan meningkat pasca COVID-19. Disebabkan itu, tidak hairanlah mereka yang mempunyai kemampuan sedang mempertimbangkan untuk membeli hartanah pelaburan, terutamanya dalam persekitaran kadar faedah rendah buat masa ini.”

Trend Pembelian Rumah Pasca COVID

 Dalam aspek pembelian rumah kediaman, kajian mendapati lebih separuh (55%) pencari rumah Malaysia sedang mempertimbangkan hartanah yang terletak di pinggir bandar. Antara sebab utama yang diberi bagi pertimbangan ini ialah persekitaran yang senyap dan tenang, harga lebih baik, lebih banyak kehijauan dan rumah bersaiz besar, yang boleh ditemui jauh dari bandar.

Minat yang semakin meningkat untuk rumah di luar pusat bandar secara langsung menggambarkan trend kerja jarak jauh yang didorong oleh pandemik. Menurut kajian itu, 1 daripada 3 rakyat Malaysia yang ditinjau berkata mereka kini bekerja dari rumah dan akan terus berbuat demikian selepas pandemik berakhir. Ini mempengaruhi persepsi kepentingan mempunyai ruang pejabat di rumah, kerana majoriti rakyat Malaysia (79%) percaya ianya penting untuk mempunyai bilik tambahan semasa membangunkan hartanah baharu, walaupun selepas pandemik berlalu.

Shylendra berkata” “Pada permulaan COVID-19, rakyat Malaysia tidak pasti sama ada polisi bekerja dari rumah oleh syarikat mereka adalah kekal atau hanya reaksi terhadap perintah berkurung. Kini, setelah mereka yakin bahawa aturan kerja yang fleksibel akan kekal, lebih ramai rakyat Malaysia terbuka untuk berpindah ke pinggir bandar untuk menikmati ruang yang lebih besar pada harga yang lebih rendah. Perjalanan yang lebih panjang ke pejabat masih boleh diterima bagi mereka yang tidak perlu melakukan perjalanan harian ke tempat kerja, kerana kelebihan tinggal di pinggir bandar masih mengatasi kekurangan yang ada.”

Dalam aspek proses mencari dan membeli rumah berikutan pendemik pula, dua daripada tiga rakyat Malaysia menjawab bahawa mereka selesa dengan menyenarai pendek dan melihat hartanah secara dalam talian; manakala lebih daripada 1 dalam 4 selesa untuk menandatangani perjanjian jualan secara dalam talian. Malah, 10% rakyat Malaysia selesa menjalankan semua proses pembelian secara dalam talian dari awal hingga akhir, menunjukkan betapa pentingnya bagi industri hartanah untuk mempercepatkan penggunaan digital mereka bagi memenuhi tingkah laku pengguna yang semakin berubah.

(Visited 418 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button