Isu Pulau Batu Puteh: PM, Kerajaan mohon batal saman keputusan ICJ
PERDANA Menteri dan Kerajaan Malaysia memohon untuk membatalkan saman yang difailkan seorang individu berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berkaitan tuntutan Pulau Batu Puteh.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan berkata, permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
“Semasa pengurusan kes hari ini secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Haslinda A Raof, mahkamah menetapkan 15 Mac ini untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Peguam Mohaji Selamat yang mewakili Mohd Hatta Sanuri selaku plaintif ketika dihubungi berkata, pihaknya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Januari lalu.
Keputusan pada Januari itu membenarkan permohonan perintah perlindungan difailkan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia supaya dokumen dalam kes saman itu tidak didedahkan kepada pihak tidak terlibat dalam kes tersebut.
Notis permohonan perintah perlindungan itu menyebut Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia antaranya memohon perintah semua material serta dokumen yang dikemukakan sebagai eksibit dalam permohonan interlokutari serta perbicaraan hanya boleh didedahkan kepada pihak terlibat dalam kes itu, peguam mewakili plaintif dan defendan, saksi perbicaraan serta pihak yang difikirkan perlu oleh mahkamah.
Turut dimohon ialah satu perintah memastikan dokumen sulit tidak dikategorikan sebagai umum dan tidak boleh dibuka untuk pemeriksaan atau apa-apa salinan dalam apa jua bentuk termasuk pemeriksaan dalam talian secara e-filing selain prosiding dan perbicaraan kes itu dijalankan secara tertutup.
Permohonan itu dibuat atas alasan antaranya dokumen dan maklumat yang akan didedahkan dalam kes saman itu berstatus dokumen berperingkat serta bertaraf rahsia besar di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.
Pada 28 Mei tahun lepas, Hatta, 46, memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan tanpa membincangkan dan membentangkannya di Parlimen terlebih dahulu.
Pernyataan tuntutan Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ berhubung tuntutan Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018 sedangkan ia dimulakan dan difailkan sejak 3 Februari 2017.
Beliau turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan kerugian ekonomi yang dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.
Turut dimohon ialah perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Februari 2017 sehingga tarikh ia menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018. – FMT – SM