NasionalPendidikan

UPSI tekan keutuhan modal insan terhadap pelajar, kakitangan

BAGI mengukuhkan hala tuju dan kecemerlangan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menekankan kepentingan aspek pendidikan keinsanan dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata walaupun UPSI berhasrat menjadi satu-satunya universiti pendidikan yang meneraju inisiatif pemerkasaan pendigitalan pendidikan negara, namun aspek keutuhan modal keinsanan dan pendidikan keinsanan tetap diberikan perhatian.

Katanya, UPSI akan membuat rombakan kurikulum dalam pengajaran iaitu menekankan lima teras iaitu keinsanan dan kenegaraan, teknologi digital, kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan pengantarabangsaan.

“Kita ingin melahirkan pelajar dan graduan yang memiliki nilai kemanusiaan, keprihatinan dan kekeluargaan yang tinggi dalam melonjakkan nilai diri sekali gus membawa nama baik universiti,” katanya ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor 2022 di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City yang bertemakan “Peneraju Kebitaraan Pendidikan”.

Menurut beliau, kejayaan UPSI melahirkan pelajar yang meraih pelbagai kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa dalam bidang kesukarelawanan adalah kerana amalan pendidikan keinsanan yang diterapkan oleh universiti.

Tambahnya, dengan memiliki pelajar dan kakitangan yang memiliki nilai modal insan, maka imej UPSI di mata masyarakat dalam dan luar negara akan memberi kelebihan untuk mencapai sasaran sebagai antara 100 universiti terbaik dunia pendidikan menjelang 2030.

“Keutuhan modal insan perlu dimiliki pelajar supaya bakat, sahsiah, potensi diri, berbudaya inovasi dan kreativiti, semangat keusahawanan akan dijiwai sebaik mungkin sebelum mereka bergraduat sekali gus diterapkan dalam kehidupan.

“Pejuang bahasa Melayu, Pendeta Za’ba dan ramai tokoh yang dilahirkan oleh sejarah UPSI dan pengorbanan keluarga kita sendiri perlu menjadi sumber inspirasi dalam mengutuhkan modal insan,” katanya.

Jelasnya lagi, UPSI akan terus memacu usaha dan inisiatif ke arah melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan demi memenuhi matlamat negara.

“Kita akan mewajibkan semua pelajar baharu UPSI mengikuti program Bina Insan dan diterapkan Pendidikan Adab dan Keinsanan bagi menyerlah jatidiri, prihatin dan nilai kerohanian sebagai teras dalam akademik dan kehidupan bagi mengukuhkan bakat mereka,” katanya.

Md Amin turut memperkenalkan program “Rabu Untuk Qalbu” setiap bulan dalam kalangan kakitangan sejak awal Januari lalu bagi mengukuhkan hubungan silaturrahim sesama kakitangan.

Malah, katanya program Sekolah Bitara dan Ziarah Kasih Alumni membuka pintu UPSI seluasnya kepada masyarakat serta menyerlahkan aspek jatidiri, keprihatinan pelajar dan kakitangan universiti terhadap alumni dan masyarakat sekali gus mencerminkan elemen Keutuhan Modal Insan. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button