BEBERAPA sekolah di negeri Karnataka, India dibuka semula hari ini selepas ditutup minggu lalu ekoran bantahan tercetus kerana pelajar Islam dilarang memakai hijab dalam kelas.
Isu itu yang mendapat kritikan meluas oleh komuniti minoriti Muslim India didakwa sebagai usaha untuk mengetepikan mereka oleh pihak berkuasa di negara yang didominasi Hindu.
Ia muncul ketika Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi bersiap sedia untuk berhadapan pilihan raya di negeri-negeri utama negara itu.
Polis terpaksa berkawal ketika pelajar berpakaian seragam merah jambu dengan kira-kira berbelas darinya memakai hijab, memasuki sekolah perempuan kerajaan yang menjadi lokasi isu bermula di daerah Udupi, Karnataka, kira-kira 400 kilometer (km) dari hab teknologi Bengaluru.
Pihak berkuasa turut melarang perhimpunan lebih daripada lima orang dalam lingkungan 200 meter dari institusi pendidikan di kawasan itu. Kelas pelajar sekolah rendah dan menengah sudah bermula manakala kolej masih ditutup.
Tindakan itu dibuat selepas mahkamah negeri yang menetapkan perbicaraan perkara itu hari ini memberitahu, pelajar untuk tidak memakai sebarang pakaian keagamaan, sama ada selendang safro atau hijab, di dalam bilik darjah sehingga arahan lanjut diterima.
Devadatt Kamat, seorang peguam dalam kes itu, ketika perbicaraan dalam talian hari ini berkata, anak guamnya telah menutup kepala mereka di dalam kelas sejak mula bersekolah.
Mereka kebanyakannya memohon kebenaran untuk terus memakai hijab dalam warna pakaian sekolah, katanya.
Isu itu menjadi perhatian berikutan protes minggu lalu selepas beberapa sekolah enggan menerima kemasukan pelajar yang memakai pakaian sedemikian, yang dianggap melanggar perintah 5 Februari lalu mengenai pakaian seragam oleh kerajaan, yang diperintah oleh BJP pimpinan Modi.
Beberapa pelajar Muslim dan ibu bapa membantah tindakan itu, mendapat bantahan balas daripada pelajar Hindu yang memakai selendang safro dan melaungkan slogan.
Parti itu mendapat sokongan terutamanya daripada komuniti majoriti Hindu yang membentuk 80% daripada populasi India yang berjumlah kira-kira 1.4 bilion, manakala umat Islam mewakili kira-kira 13% daripada populasi berkenaan.
Seorang pelajar di Udupi, Ayesha Imthiaz, berkata adalah memalukan apabila diminta menanggalkan hijab sebelum masuk kelas.
Dia merasakan ‘agamanya dipersoalkan dan dihina oleh tempat yang dianggap sebagai kuil pendidikan’.
Seorang pegawai di daerah pantai Udupi, Pradeep Kurudekar S, memberitahu pemberita bahawa pihak berkuasa akan menunggu arahan lanjut daripada mahkamah atau kerajaan untuk menyambung semula semua kelas. – SM