Negeri

Bazar Ramadan MITC pindah ke Dataran Sejarah

MELAKA 3 Februari. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) tidak mempunyai banyak pilihan terpaksa membuat keputusan memindahkan Bazar Ramadan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh ke lokasi baharu di Dataran Sejarah tidak jauh dari situ.

Bazar Ramadan MITC yang sudah bertapak di kawasan letak kereta hadapan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) sejak tahun 2010 setiap kali menjelang Ramadan pastinya membuatkan para peniaga tetap pening kepala apabila terpaksa berpindah ke lokasi baharu.

Bagi Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shahdan Othman berkata, pihaknya terpaksa memindahkan bazar berkenaan ke
Dataran Sejarah berikutan tapak penganjuran itu berdekatan dengan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang masih beroperasi hingga kini.

Menurutnya, perkara tersebut bagaimanapun akan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk mendapat pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tapak penganjuran bazar dekat sangat dengan PKRC, saya bimbang suasana bising mungkin menjejaskan mereka
yang masih mendapat rawatan kerana didapati positif Covid-19.

“Mungkin waktu tidur mereka terganggu maklumlah Bazar ni bermula petang hingga lewat malam. Kita perlu memikirkan keselesaan mereka di PKRC juga,” ujarnya.

Shahdan berkata, keputusan mengenai perkara tersebut akan diketahui tidak lama lagi ketika pihaknya telah menerima dua permohonan daripada penganjur untuk membuka Bazar Ramadan di MITC dan KIPMall di Bachang.

Katanya, di Bachang perkara tersebut tidak menimbulkan sebarang halangan melainkan di MITC yang mungkin ada pihak tidak puashati nanti.

Beliau menambah tapak baharu di Dataran Sejarah adalah lokasi yang tepat sebagai tempat menggantikan MITC kerana di situ telah ada Leypark Station yang dilancarkan oleh MPHTJ baru-baru ini.

“Tempat ini yang dibuka empat hari seminggu dari Khamis hingga Ahad telah menunjukkan kehadiran orang ramai yang amat mengalakkan.

“Rasanya tidak ada masalah jika bazar dari MITC ke lokasi baharu kerana tempat yang luas dan kemudahan meletakkan kenderaan juga mencukupi,” ujarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button