Nasional

Orang Asli Lojing minta kerajaan Kelantan sediakan tanah pertanian

MASYARAKAT Orang Asli di beberapa kampung sekitar Lojing di sini, meminta kerajaan Kelantan menyediakan tanah bagi mereka menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman seperti sayur-sayuran sebagai sumber pendapatan.

Menurut mereka masyarakat Orang Asli harus diberi peluang untuk menjalankan usaha sendiri daripada sekadar bekerja di kebun sayur atau mencari hasil hutan yang semakin berkurangan ekoran pembukaan kawasan hutan di kawasan itu untuk dijadikan kebun sayur milik syarikat persendirian.

Seorang penduduk Kampung Sendrop, Anis Akai, 51, berkata masyarakat Orang Asli perlu diberi peluang untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian berbanding bekerja di kebun sayur milik syarikat persendirian.

“Walaupun ramai dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Lojing bekerja di kebun sayur namun mereka hanya menerima upah yang kecil sedangkan syarikat mendapat keuntungan yang lumayan hasil jualan sayur.

“Masyarakat Orang Asli di sini berasa terpinggir kerana kami tidak diberi peluang untuk mengusahakan sendiri penanaman sayur bagi membaiki ekonomi kami,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Sharif Busu, 29, pula mendakwa ada dalam kalangan pengusaha kebun sayur lebih mementingkan pekerja asing berbanding menggajikan penduduk tempatan.

Beliau berkata tindakan itu menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat ini terpaksa menjadi penganggur walaupun ada peluang pekerjaan dengan pendapatan lebih baik berbanding sekadar menjual sumber hutan.

“Walaupun ada masyarakat Orang Asli yang mengusahakan kebun sayur namun ia dalam skala kecil dan hasil yang dijual hanya sekadar untuk cukup makan sahaja.

“Sampai bila kami terpaksa menempuhi hidup serba kekurangan ini sedangkan kerajaan negeri lebih mengutamakan syarikat untuk membuka kebun sayur secara meluas di kawasan ini,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button