Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen menggamit peminat bougainville
BERADA di tengah-tengah Taman Bunga Kertas Tuanku Lalatul Shahreen sambil menyanyi-nyanyi kecil lagu Ameng Spring untuk menghiburkan hati sendiri, memang tiada salahnya.
Taman bunga ini dapat dilihat jika anda melalui Persiaran Wawasan atau lebih dikenali sebagai Gua Sami di Kangar, Perlis.
Mana tidaknya, puluhan jenis bunga kertas atau boungainville sedang mekar kembang dengan penuh warna-warni.
Cuaca panas terik di Perlis sekarang ini sekaligus membuatkan bunga-bunga kertas ini mampu bertahan untuk tempoh yang lebih panjang.
Taman yang dibina di Laman Cenderawasih di pinggir Bukit Lagi telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada tahun 2003.
Taman seluas empat hektar ini dinamakan sempena nama Raja Perempuan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Kawasan ini ditanam dengan pelbagai spesies bunga kertas dari semasa ke semasa.
Tinjauan SUARA MERDEKA juga mendapati bunga kertas sedang mekar elok kerana bunga ini memang sangat serasi dengan cuaca panas.
Peminat bunga kertas pastinya kagum melihat keindahan bunga kertas yang dalam pelbagai spesies dan warna.
Sambi menikmati keindahan ini, terdapat sebuah pondok untuk membolehkan pelawat berehat seketika.
Juga terdapat sebuah mercu tanda untuk membolehkan pelawat melihat dari aras tinggi keindahan bunga kertas di taman ini.
Taman ini akan mula menjadi tumpuan orang ramai pada waktu petang memandangkan ia juga terletak di tepi denai larian.
Sebagai taman bunga kertas terbesar di negeri ini, diharap ia terus diselia dengan baik supaya mampu menjadi tarikan kepada peminat bunga sama ada dalam mahupun luar Perlis. – SM