Nasional

Ibu remaja dimandikan seperti jenazah terima permohonan maaf pihak masjid

IBU kepada remaja yang dimandikan seperti jenazah kerana ditangkap cuba mencuri tabung masjid menerima permohonan maaf daripada pihak masjid.

Ibu kepada Daniel Iskandar, Jasma Rosli berkata,sebarang saranan dan keputusan oleh hakim hari ini adalah untuk kebaikan semua pihak.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong, beri bantuan dan prihatin kepada Daniel. Tak ada masalah (terima permohonan maaf). Kita sebenarnya punca. Kalau sama-sama dua pihak nak bermaafan bagus dan jadikan pengajaran,” katanya seperti yang dipetik daripada Free Malaysia Today.

Kata Jasma, dia  tidak akan menyalahkan mana-mana pihak dan mengakui kesalahan dilakukan anaknya itu adalah daripada kecuaiannya yang gagal mendidik.

“Saya akui kesilapan sehingga dia terabai. Saya tak salahkan mana-mana pihak. Itu kecuaian saya,” katanya.

Sementara itu Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Abdul Halim Aman mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 ke atas remaja itu, Daniel Iskandar. 19, oleh Mahkamah Majistret Selayang minggu lalu. sebaliknya digantikan dengan khidmat masyarakat di masjid sebanyak 120 jam selama enam bulan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat, manakala pesalah muda itu diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy.

Turut serta dalam prosiding itu adalah  peguam Haniff Khatri Abdulla, Muhammad Hariz Yusoff, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md Rofiee dan Muhammad Mustaqim Ahmad Huzaini bagi Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), manakala Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie sebagai peguam pemerhati bagi Masjid Al Islahiah, Kuang, Rawang.

Sementara itu, Hariz berkata saranan Halim supaya keluarga Daniel, pihak masjid dan orang yang menularkan video kejadian berkenaan mengadakan pertemuan akan diaturkan PPMM dalam masa terdekat.

Katanya, PPMM akan menyelesaikannya dalam tempoh seminggu dengan cara baik.

“Itu kita harapkan. Saya akan bawa saranan hakim ke pimpinan PPMM untuk dapat arahan lanjut. Sekiranya tidak ada halangan, PPMM akan hubungi pihak tersebut untuk selesai cara baik,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button