New South Wales bakal kuat kuasa semula sekatan Covid-19?
SYDNEY: Negeri New South Wales yang menempatkan Sydney dan kira-kira 25 juta penduduk bakal menguatkuasakan semula sekatan Covid-19 termasuk menutup kelab malam dan premis perniagaan bukan penting susulan peningkatan kes jangkitan mendadak.
Sydney Morning Herald semalam melaporkan, langkah itu dijangka diluluskan oleh jawatankuasa pemulihan ekonomi kerajaan negeri bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital.
Kafe dan restoran juga bakal beroperasi dengan kapasiti terhad, selain perhimpunan beramai-ramai tidak dibenarkan.
Sekatan itu disifatkan sebagai langkah keselamatan berterusan dan kerajaan Australia seboleh-bolehnya enggan melaksanakan perintah berkurung seperti sebelum ini.
New South Wales merupakan negeri paling teruk terjejas akibat Covid-19 selepas merekodkan kes jangkitan harian tertinggi sejak beberapa hari lalu.
Jumlah kemasukan pesakit ke hospital di negeri itu meningkat dua kali ganda dan kes meningkat dari 150 pada November lalu kepada 35,000 kes semalam.
Ketua Menteri New South Wales, Dominic Perrottet sebelum ini berkeras enggan melaksanakan sekatan Covid-19 dengan menggesa semua petugas perubatan supaya ‘menerima koronavirus dalam kehidupan mereka’.
Pejabat Perrottet sehingga kini tidak memberikan maklum balas mengenai cadangan untuk melaksanakan semula sekatan Covid-19 di negeri itu.
Australia setakat ini merekodkan lebih 684,000 kes dan 2,301 kematian sejak pandemik bermula dengan lebih separuh penduduk yang dijangkiti virus itu sejak dua minggu lalu.
Sumber: Utusan Digital