Negara perlukan generasi bermoral tinggi untuk kemakmuran
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah negara memerlukan generasi dan rakyat yang memiliki moral unggul demi memelihara keharmonian, perpaduan dan kemajuan pembangunannya. Negara yang maju dan makmur adalah negara yang memiliki masyarakatnya yang bermoral dan berakhlak tinggi.
Baginda bertitah, penghayatan nilai-nilai murni terkandung dalam ajaran Islam dan ajaran yang lain. Masyarakat Malaysia merupakan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai budaya dan agama yang sentiasa diterapkan dan disemai dengan nilai-nilai murni dalam kehidupan.
“Kesemua agama memberi pelbagai pengajaran terhadap soal moral, akhlak dan kemanusiaan. Sekiranya nilai-nilai murni dihayati satu persatu maka masyarakat pasti akan dapat hidup aman dan tenteram. Penghayatan nilai murni juga akan membawa kita kepada kehidupan yang bertamadun dan secara tidak langsung bertindak sebagai pemangkin kepada keutuhan nilai murni dalam masyarakat”.
Baginda bertitah demikian selepas menyantuni dan menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Salbiah Hamid, 69 yang tinggal bersama keluarga beliau di Kg Wang Ulu dekat Kangar baru-baru ini. Salbiah yang sakit terlantar dengan hasil pendapatan keluarga melalui adiknya yang bekerja sebagai pengawal adalah merupakan salah seorang penerima ‘Bantuan Fitrah MAIPs’.
Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Tambah Tuanku Raja Muda lagi, penghayatan moral unggul dan nilai murni oleh masyarakat majmuk perlu diteruskan dan dipupuk agar terus diamalkan bagi membendung serta mengatasi gejala sosial dalam masyarakat hari ini. Kesemua agama dan budaya masyarakat menyeru serta mengajak agar sentiasa berakhlak mulia.
“Apabila terhakisnya penghayatan nilai-nilai murni dalam masyarakat, ia menyebabkan perilaku lebih cenderung ke arah negatif. Kita perlu berusaha menangani perkara ini dan sentiasa membuka ruang perbincangan dan percambahan minda agar masyarakat sedar tentang tanggungjawab masing-masing”, jelas Tuanku Syed Faizuddin Putra.