JenayahNasional

Bayi empat bulan meninggal dunia selepas sebulan dijaga pengasuh

Seorang bayi perempuan berusia empat bulan meninggal dunia selepas sebulan dijaga pengasuhnya. Bayi berkenaan dilaporkan ditemui lemah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, petang semalam.

Ibunya Lilis Handayani Sukran, 24, berkata, beliau menerima panggilan ketika berada di tempat kerja dan diminta datang segera ke rumah pengasuh berkenaan.

“Masa itu, saya berada di tempat kerja, dapat panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan muka anak sudah biru dan dia suruh segera datang ke rumahnya.

“Bayi ini merupakan satu-satunya anak saya dan baru sebulan dihantar ke rumah pengasuh,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Beliau yang ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik HTJ berkata, anak tunggalnya itu baharu dilahirkan pada akhir Julai lalu.

Sementara itu, bapa saudara bayi tersebut, Nashrullah Mohd Non, 32, berkata, buat masa ini, punca kematian masih belum dikenal pasti dan keputusan bedah siasat hanya akan diperoleh dalam masa terdekat.

“Jenazah bayi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lui Muda, Jempol, Negeri Sembilan selepas solat Zohor hari ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seremban, Assisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada pukul 4.40 petang semalam, ibu mangsa yang berada di tempat kerja menerima panggilan telefon daripada pengasuh yang memintanya datang segera ke kediamannya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang, Seremban kerana bayi itu dalam keadaan sangat lemah dan wajahnya pucat.

Beliau berkata, sebaik tiba, ibunya mendapati keadaan kulit wajah anaknya pucat dan tiada tindak balas apabila cuba mengejutkannya.

Bayi itu kemudiannya dihantar ke HTJ untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button