Nasional

Malaysia-Indonesia meterai MoU pembantu rumah

BERITA yang disambut baik oleh para majikan sejak pandemik Covid-19 menyekat dan mengekang kemasukan pembantu rumah dari seberang.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Sarawanan berkata, satu memorandum persefahaman Perkhidmat Domestik Indonesia (PDI) antara Malaysia dan Indonesia dijangka dimeterai seawal Januari 2022.

Beliau berkata, kedua-dua negara akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa teknikal pada 14 Disember ini bagi membolehkan kesepakatan dicapai.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia bagi memastikan aspek pengambilan dan perlindungan pekerja warga Indonesia sentiasa terjamin dan kebajikan mereka di Malaysia terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya dari Indonesia, Ida Fauziyah di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk perlindungan pekerja Indonesia di Malaysia dengan langkah terkini adalah pelancaran Pelan Tindakan Nasional dalam membanteras Buruh Paksa 2021-2025 dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Ujarnya, salah satu matlamat strategik dalam pelan tindakan ini adalah berhubung pengurusan migrasi dengan aktiviti di bawah matlamat strategik itu bertujuan menambah baik tadbir urus dan pengurusan pekerja asing di Malaysia secara keseluruhan.

“Kementerian turut melaksanakan program e-Wages dalam masa terdekat bagi memantau pembayaran gaji pekerja serta menambah baik tempat penginapan pekerja, termasuk pekerja asing menerusi pelaksanaan “Centralised Labour Quarters” (CLQ),” jelasnya.

Mengenai gaji, Saravanan berkata, aplikasi mobil “Working for Workers” dilancar pada 3 Mei 2021 yang membolehkan semua pekerja termasuk pekerja asing menyuarakan aduan tanpa perlu hadir secara fizikal ke Pejabat Tenaga Kerja.

“Terdapat 17 kategori aduan yang turut merangkumi indikator buruh paksa ILO,” katanya yang berharap Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan PDI menggunakan sebaiknya medium aduan ini.

Sehingga 5 Oktober lalu, jumlah aduan yang diterima dalam aplikasi ini adalah sebanyak 12,132 kes dengan isu aduan utama adalah tidak dibayar gaji, gaji lewat dibayar serta potongan gaji tidak mengikut undang-undang.

Saravanan turut merakamkan penghargaan atas kerjasama Indonesia dalam bidang perburuhan bagi pengambilan dan penggajian pekerja berskala besar sejak 1984 yang merangkumi sektor perladangan, pertanian dan pekhidmat domestik.

“Malaysia menghargai sumbangan TKI dan PDI kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan kehidupan rakyat Malaysia,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button