Politik

Penangguhan subsidi petrol: Kenapa Guan Eng bidas MCA pula, tanya Ka Siong

PRESIDEN MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mempersoalkan tindakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang membidas parti itu berkaitan keputusan kerajaan menangguhkan Program Subsidi Petrol (PSP).

Ka Siong berkata, jika ada dalam kalangan parti pembangkang yang menegur keputusan penangguhan PSP oleh kerajaan PH ianya adalah berdasarkan fakta dan bukannya berita tidak benar.

Menurut Ka Siong, semasa membentangkan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018, Lim Guan Eng telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk subsidi minyak bersasar. Namun, ianya langsung tidak dilaksanakan pada tahun 2019.

“Sedangkan kita semua maklum bahawa sebanyak RM25 juta telah diberikan kepada sebuah syarikat bagi menjalankan kajian untuk pelaksanaannya.

“Namun akhirnya, kerajaan gagal membuat keputusan dan hanya berkata ia akan dilaksanakan pada tahun 2020. Dalam masa sama, MCA pula yang dipersalahkan atas kegagalan PH ini!” kata Ka Siong.

Menurutnya, Guan Eng sekali lagi mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion untuk subsidi minyak bersasar dalam Belanjawan 2020 pada 11 Oktober tahun lalu.

Namun pada pembentangan tersebut, Ka Siong mendakwa, Guan Eng tidak langsung menyebut status peruntukan RM2 bilion dalam Belanjawan 2019 yang dikatakan tidak digunapakai.

“Wahai Lim Guan Eng, terimalah hakikat kegagalan kamu. Akui sajalah kelemahan diri sendiri. Kalau tak boleh buat, kenapa umumkan dalam belanjawan negara?

“Ini sudah dua belanjawan dibentangkan perkara sama tapi gagal dilaksanakan! Apakah pengumuman sedemikian sekadar mahu menyedapkan hati rakyat dan kamu boleh mendabik dada bangga?” kata Ka Siong.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP sebelum ini membidas tindakan MCA mengkritik keputusan kerajaan menangguhkan PSP.

“Sebelum ini, bila diumumkan…parti pembangkang mengkritik tindakan itu kerana bawa kesulitan kepada rakyat.

“Tetapi sekarang kita tangguhkan PSP, pihak pembangkang juga kritik kerana tidak laksanakan cepat-cepat. Jadi kita nak tahu apakah pendirian mereka (MCA) ataupun mereka sekadar nak cari modal politik untuk kritik,” kata Guan Eng.

Tiga hari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengumumkan penagguhan PSP yang sepatutnya dilaksanakan bulan ini.

Keputusan untuk menangguhkan program itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 18 Disember lalu bagi memberi ruang terhadap penyelesaian dua perkara utama yang kini giat dilaksanakan kerajaan.

Kerajaan pada 7 Oktober tahun lalu mengumumkan pelaksanaan PSP dengan peruntukan RM2.4 bilion dalam Belanjawan 2020 akan dilaksanakan selaras manifesto Pakatan Harapan.

Program subsidi bersasar bagi menangani ketirisan bekalan bahan api itu dijangka memberi manfaat kepada lapan juta penerima daripada kelompok B40 dan M40 yang ketika ini berdepan peningkatan kos sara hidup.

Sementara menunggu pengumuman pengesahan pelaksanaan PSP, Saifuddin berkata, rakyat akan terus menikmati harga petrol berdasarkan sistem sedia ada.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button