Politik

Tersilap frame ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’, Nie Ching mohon maaf

Ahli Parlimen DAP Teo Nie Ching memohon maaf selepas tersalah memuatnaik gambar poster dengan menggunakan frame ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’ di Facebook.

Nie Ching yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pendidikan berkata,  beliau tersalah memilih ‘frame percuma’ yang terdapat dalam laman sosial tersebut tanpa mengetahui maksud perkataan yang digunakan tersebut.

“Dalam keghairahan kempen media sosial ini, ramai petugas Pakatan Harapan, khususnya DAP, hampir tak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen.

“Namun, manusia tidak pernah lepas daripada kesilapan, termasuk diri saya sendiri.

“Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial. Saya cuma ingin berkempen melalui “frame” percuma yang boleh didapati di dalam facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut,” katanya melalui media sosial sebentar tadi.

Nie Ching berjanji akan lebih berhati-hati dalam memuatkan bahan kempen di media sosial.

“Dengan ini, saya dengan penuh rendah hati, memohon maaf atas kekhilafan menyiapkan dan memuatnaikkan bahan kempen yang telah tersalah menggunakan bahasa.
“Saya berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini dalam memuatnaikkan bahan-bahan kempen media sosial untuk PRN Melaka.
“Dengan menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua, terutamanya rakyat dan pengundi Melaka,” tambahnya.

Terdahulu tular tangkap layar di laman Facebook bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu yang memuat naik frame yang mengandungi perkataan ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’.

Bagaimanapun, frame tersebut telah dipadamkan selepas mendapat teguran dan kritikan daripada warga maya.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), lahabau merupakan bahasa kasar yang membawa maksud tidak berguna atau tidak boleh diharap.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button