MoU Kerajaan, PH kemenangan rakyat, asipirasi Keluarga Malaysia
Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) sejajar dengan aspirasi Keluarga Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, MoU yang dimateri petang semalam memastikan bahawa semua ahli politik akan menggembleng sepenuhnya buah fikiran, tenaga dan kuasa untuk membantu rakyat.
Jelas Tengku Zafrul, MoU yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang itu merupakan kemenangan kepada semua rakyat Malaysia tidak kira umur, bangsa, agama ataupun pegangan politik.
“Kita semua menang. Yang kalah hanyalah mereka yang ingin melihat COVID-19 melunturkan semangat Keluarga Malaysia. Insya-Allah, kita akan berjaya untuk bangkit dan #MenangBersama,” kata Tengku Zafrul.
Menurut beliau, MoU itu bagi memastikan negara bangkit semula setelah menghadapi cabaran COVID-19 yang memberikan kesan yang cukup mendalam.
Tengku Zafrul berkata, melalui transformasi jangka panjang yang dipersetujui kedua-dua pihak boleh mewujudkan landskap politik yang lebih memanfaatkan rakyat.
Apa yang sama penting, menurut beliau adalah kesan jangka pendek iaitu kestabilan politik untuk semua pihak bangkit dan pulih bersama-sama.
“Memandang ke hadapan, saingan kita bukanlah sesama kita dalam negara, tapi saingan kita ialah negara-negara lain.
“Dan musuh kita juga bukanlah sesama kita, tetapi COVID-19 dan pelbagai cabaran yang sama menggerunkan seperti perubahan iklim yang menyaksikan kemusnahan di banyak negara termasuklah di negara-negara maju,” katanya.
Tengku Zafrul menjelaskan, memorandum yang ditandatangani itu tidak bermakna kerja kuat untuk memulihkan negara sudah berjaya.
Sebaliknya, ia menjadi titik permulaan baharu untuk semua pihak bersama-sama menghadapi cabaran yang besar yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19.
“Jika kebanyakan bantuan-bantuan sebelum ini dibuat atas prinsip memastikan survival rakyat menghadapi COVID-19, cabaran kerajaan semasa pemulihan adalah untuk membantu rakyat bangkit semula seperti sebelum ini.
“Individu akan dibantu untuk menjana pendapatan, syarikat akan dibantu untuk berkembang semula, serta ekonomi negara akan dipastikan berada di landasan terbaik,” katanya.
MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang sejak akhir bulan ditandatangani secara bersama oleh Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Turut menandatangani MoU itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
MoU tersebut merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, serta Pembaharuan Parlimen.
Selain itu, tiga lagi adalah Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.-SM