Nasional

Finas perlu lindungi pengiat industri filem negara

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) perlu memainkan peranan yang lebih penting dalam melindungi kebajikan penggiat industri perfileman negara.

Arahan tersebut dilontarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa ketika mengadakan perbincangan dengan pengurusan tertinggi Finas semalam.

Annuar turut mahu Finas agar memberi wajah baharu kepada perbadanan itu setaraf dengan peranannya yang menerajui pembangunan industri filem tempatan.

“Sewaktu perbincangan bersama Finas malam semalam saya menyarankan Finas untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam melindungi kebajikan penggiat industri perfileman negara.

“Finas juga perlu “reinvent” imej mereka sebagai peneraju dalam pembangunan industri perfileman negara,” kata Annuar.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Finas Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang membentangkan Teras Pembangunan Industri Kreatif Negara.

Teras tersebut melibatkan tadbir urus Finas, struktur dan insentif-insentif yang telah disalurkan oleh KKMM melalui Finas kepada sektor industri kreatif negara.

Seramai 11,460 tenaga kerja syarikat produksi penerima Dana Kandungan Digital FINAS bakal menerima caruman perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO melalui Inisiatif Caruman Tenaga Produksi.

Caruman dalam SKSPS menjadi antara manfaat Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi penggerak seni kreatif tempatan yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Selain itu, sebanyak 35,000 pekerjaan bakal diwujudkan dalam industri seni dan kreatif menerusi peruntukan RM100 juta bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin,

Manfaat Pemulih dinikmati oleh penggiat industri kreatif negara melalui jabatan serta agensi di bawah kementeriannya seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (Cendana).-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button