UPSI jadi universiti ke 8 di Malaysia, top 3% di dunia
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akhirnya berjaya melangkah pada kedudukan 801-1000 Times Higher Education World University Ranking bagi tahun 2022.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga UPSI yang konsisten komited dan bekerja keras untuk memastikan kedudukan UPSI meningkat.
“Alhamdulillah, buat pertama kali dalam sejarah, UPSI berjaya menempatkan diri dalam kedudukan 801-1000 iaitu Top 3% in the World dan kedudukan kelapan dalam kalangan universiti di Malaysia, “ katanya.
Pencapaiaan yang membanggakan itu, katanya, adalah hadiah dan berkat sambutan 100 tahun legasi pendidikan Sultan Idris Training College (SITC) awal 1920-an sehingga kini selaras dengan usahakan semua warga sejajar bersama pelan strategik demi menaikkan nama UPSI, negara, negeri dan Daerah Muallim.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pemimpin UPSI sebelum ini yang banyak memberi inspirasi kepada kejayaan yang dicapai ini,” katanya.
Keputusan luar biasa itu, katanya, adalah berkat sokongan dan komitmen penuh warga UPSI dalam semua aspek penarafan (THE) iaitu dari segi pengajaran, penyelidikan, sitasi, keterlihatan global dan penjanaan kewangan.
“Diharapkan dengan kejayaan ini dapat membantu UPSI untuk terus memacu kecemerlangan dan semakin bersemangat untuk meningkatkan nama dan keterlihatan universiti diperingkat global.
“Kita menyedari bahawa kejayaan mendapat tempat seperti sekarang disumbangkan oleh seluruh warga UPSI yang gigih mengurus dan menghasilkan segala inovasi dalam penyelidikan, penerbitan jurnal, penulisan artikel, pengkomersialan, serta kemasyarakatan yang berimpak tinggi hingga memberi nilai terhadap kedudukan ranking,”katanya.
Beliau berkata UPSI akan terus berusaha untuk berada setanding dengan universiti-universiti ternama dunia. -SM