Rencah Hidup

Teh tarik dan makanan percuma seumur hidup kepada 30 atlet negara di Olimpik Tokyo

Kemeriahan dan kejayaan kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih hangat dirasai sehingga membuatkan beberapa syarikat swasta terpanggil menghargai keringat dicurahkan olimpian ketika penyertaan di negara matahari terbit itu.

Justeru sebagai membalas jasa 30 olimpian di Tokyo, sebuah restoran terkemuka, Teh Tarik Place mengumumkan untuk memberikan ganjaran seumur hidup secara percuma berupa teh tarik dan produk makanan kepada semua wira negara ini.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan, Teh Tarik Place yang mempunyai lebih 14 cawangan di seluruh negara dan dua di Brunei menyatakan sumbangan mereka itu selain mengharapkan semua rakyat Malaysia terus menyatakan sokongan kepada atlet negara yang sudah menaikkan nama negara di persada dunia.

“Kami ingin menyampaikan satu pesanan kepada semua atlet Malaysia, walaupun ada yang meragui, kami tetap mengakui pengorbanan, semangat, dedikasi dan kesukanan yang ditunjukkan oleh atlet di sepanjang Sukan Olimpik ini berjalan,” kata Pengerusi Eksekutif Techna-X, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar.

Teh Tarik Place adalah anak syarikat kepada Craveat International dan rakan francais rasmi untuk rangkaian makanan kasual antarabangsa, TGI Fridays di Malaysia dan di China.

Craveat International juga adalah sebahagian daripada kumpulan syarikat yang dimiliki oleh Techna-X Berhad, sebuah syarikat awam yang tersenarai dan diperdagangkan di dalam Bursa Malaysia sejak tahun 2007.

Di Olimpik Tokyo 2020, kontinjen negara membawa pulang satu pingat perak dalam acara keirin berbasikal trek menerusi Datuk Azizulhasni Awang manakala gangsa diraih beregu badminton lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Craveat International, Lee Yew Jin berkata, pihaknya sangat menghormati kesungguhan dan disiplin diperlukan untuk menguasainya (pertandingan) dan prestasi ditunjukkan atlet negara adalah pencapaian besar.

“Oleh itu, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kerana menaikkan nama negara, kami ingin mengumumkan pemberian seumur hidup berupa teh tarik dan produk makanan kepada semua Olimpian Malaysia (di Tokyo),” katanya.

Tunku Naquiyuddin dan Yew Jin dalam pada itu turut mengharapkan lebih banyak organisasi swasta dapat bersama-sama dengan mereka bagi menghargai sumbangan yang diberikan atlet negara di pentas dunia. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button