Politik

WARISAN, PSB, UPKO, Syed Saddiq tolak tawaran PN

Empat parti pembangkang secara bersama menolak tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan kerjasama rentas parti dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Warisan Sabah (WARISAN), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam satu kenyataan bersama, hari ini sebaliknya mendesak Muhyiddin meletak jawatan Perdana Menteri dengan cara terhormat.

“Sejak tahun lepas lagi, parti pembangkang sudah membuat cadangan untuk menstabilkan kerajaan melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan.

“Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan melalui pintu belakang, kami bersedia untuk bertolak ansur demi kemaslahatan dan kebajikan rakyat.

“Namun Tan Sri dengan sombong menolak segala tawaran pembangkang,” kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan mewakili Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Baru Bian daripada PSB.

Ini termasuk tujuh ahli Parlimen WARISAN, iaitu Datuk Ignatius Darell Leiking, Datuk Mohamaddin Ketapi, Datuk Mohd Azis Jamman, Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy, Ma’mun Sulaiman, Ahmad Hassan dan Datuk Rozman Isli serta ahli Parlimen PSB, Datuk Masir Kujat.

“Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa bukan tanggungjawab Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan kewujudan sokongan majoriti pada mana-mana Ahli Parlimen sebelum meletakkan jawatan.

“Kami mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan dengan cara terhormat dan benarkan proses demokrasi berjalan semula,” katanya.

Mereka berkata, cadangan reformasi yang dibentangkan oleh Muhyiddin boleh diangkat dan dibawa ke Parlimen, namun perlu dilakukan oleh Perdana Menteri baharu yang mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button