PM harap sokongan 31 MP BN akan menghentikan polemik politik
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berharap pendirian tegas 31 ahli Parlimen Barisan Nasional yang menyuarakan sokongan kepada Kerajaan Pakatan Nasional dapat menghentikan polemik politik.
Muhyiddin turut berharap sokongan 31 ahli Parlimen BN itu boleh memberi ruang kepada Kerajaan PM untuk menangani penularan pandemik Covid-19.
“Saya berharap agar pendiran ahli-ahli Parlimen BN ini akan meghentikan polemik politik yang sedang berlaku pada masa ini dan memberi raung kepada Kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani Covid-19, mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara.
“Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan dalam kita berhadapan dengan pandemik imi,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.
Muhyiddin dalam kenyataan ringkas tersebut turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan semua 31 ahli Parlimen BN yang menyatakan sokongan terhadap Kerajaan PN pagi tadi.
Menurut Muhyiddin, sokongan yang dizahirkan oleh kesemua mereka selaras dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepadanya pada Rabu lalu.
Selain itu Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih atas pendirian yang bersetuju agar usul undi percaya terhadap dirinya dilakukan di Dewan Rakyat September ini.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon, Timbalan Perdana Menteri dan semua ahli Parlimen BN yang bersama beliau menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan saya.
“Saya juga mengucapkan terima kasih di atas pendirian mereka yang bersetuju bahawa keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada bulan September dalam usul undi percaya dan bukan melakui kaedah lain.
“Ini adalah selaras dengan titah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepada saya semasa sesi menghadap di Istana Negara pada hari Rabu,” katanya.
Seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) hari ini, menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketika mengumumkan pendirian itu, mereka juga menyokong supaya keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepemimpinan Perdana Menteri ditentukan ketika persidangan Parlimen pada September depan.
Pendirian itu dinyatakan dalam sidang media yang dihadiri 21 Ahli Parlimen UMNO dan BN, diketuai Ismai Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.
Selain Ismail Sabri, 17 lagi Ahli Parlimen yang hadir adalah Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap); Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Datuk Seri Idris Jusoh (Besut); Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak); Datuk Seri Hasan Arifin (Rompin); Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).
Selain itu, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau); Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis); Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Maran); Mohd Shahar Abdullah (Payar Besar); Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar); Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas); Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu); Datuk Salim Sharif (Jempol); Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Datuk Seri M Saravanan (Tapah).
Tiga Ahli Parlimen yang menandatangani pendirian berkenaan namun tidak hadir adalah Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang); Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin).
Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan, 10 lagi Ahli Parlimen yang tidak hadir tetapi bersetuju secara mulut kerana belum menandatangani pendirian berkenaan.
Mereka ialah Khairy Jamaluddin (Rembau); Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara); Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas); Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong).
Selain itu, Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan); Datuk Mohamad Alamin (Kimanis); Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya) dan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).-SM