Penyanyi yang kini sedang mengandung tujuh bulan, Siti Sarah kini sudah ditidurkan dan akan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi sekiranya oksigennya berada dalam keadaan baik.
Menurut Shuib, doktor juga telah meminta izin daripadanya supaya Sarah dikomakan buat seketika.
“Doktor minta izin saya untuk tidurkan Sarah, untuk komakan Sarah buat seketika. Kalau oksigen dia ok, keadaan dia ok, insyaAllah barulah boleh proceed operation untuk keluarkan baby.
“Sebelum sampai ke tahap tu, paling getir adalah saat dia dikoma. Saya langsung tak nak fikir benda yang tak baik,” katanya.
Sementara itu, pengurus Siti Sarah, Nana Mohd Rom berkata, satu majlis bacaan yasin juga sudah diadakan tengah hari tadi.
“Terima kasih buat semua yang sudi meluangkan masa menyertai bacaan yassin untuk kesejahteraan Siti Sarah tengah hari ini. Memang berat ujian yang perlu dihadapi oleh Shuib sekeluarga.
“Paling mengharukan, sebaik sahaja tamat bacaan Yassin doktor memaklumkan yang paras oksigen Sarah semakin baik dan akan melakukan pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungan pukul 2 petang nanti.
“Insya-Allah dengan pembedahan tersebut dapat menyelamatkan mereka berdua. Terima kasih atas doa dan kata-kata semangat daripada semua. Semoga Allah memperkenankan doa hamba-Mu ini,” katanya.
Semalam, Siti Sarah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di sini, akibat tahap oksigen tidak stabil.
Perkara ini dimaklumkan Shuib yang memberitahu, keadaan Siti Sarah juga tidak berapa baik selain memohon doa kesembuhan isteri dan bayi dalam kandungan.
Baru-baru ini, Siti Sarah dan Shuib serta anak-anak mereka telah disahkan positif Covid-19. -SM