Aeril Zafrel positif Covid-19 kali kedua
Selepas dijangkiti Covid-19 untuk kali pertama pada Januari lalu, pelakon, Aeril Zafrel sekali lagi diduga selepas disahkan positif wabak tersebut buat kali kedua pada Isnin lalu.
Menurut Aeril, dia sendiri tidak pasti dijangkiti virus tersebut dari mana sedangkan dia hanya duduk di rumah sahaja.
“Pada awalnya saya demam dan sakit sendi. Sama macam kali pertama positif Covid-19 tempoh hari. Tapi, kali ini lebih sakit.
“Saya beli kit ujian Covid-19 dan hasilnya negatif. Tapi, saya tak puas hati dan anggap kurang berkesan. Jadi, saya ambil keputusan pergi klinik dan dimaklumkan saya positif,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Sementara itu, isteri Aeril, Wawa Zainal pula memberitahu yang dia dan tiga orang anaknya telah disahkan negatif.
Menurutnya, ujian menerusi kit Covid-19 Rapid Test (RTK) yang dilakukan di rumah menunjukkan mereka negatif.
Namun jelasnya, mereka masih perlu menunggu Ujian PCR COVID-19 sebelum disahkan bebas Covid-19 sepenuhnya. -SM