Imigresen tak iktiraf skuad sukarela buru pelancong asing tinggal lebih masa
JABATAN Imigresen Malaysia tidak mengiktiraf penubuhan skuad sukarela oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bagi memburu pelancong asing yang tinggal lebih masa di Malaysia.
Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata tindakan seperti itu merupakan tugas pihak berkuasa berlandaskan undang-undang dan peraturan sedia ada.
“Tiada mana-mana pihak atau pertubuhan diberikan kuasa di bawah undang-undang untuk memburu pendatang asing tanpa izin. Berdasarkan Seksyen 51 Akta Imigresen 1959/63, kuasa menjalankan tangkapan adalah terhad kepada pegawai imigresen, polis dan kastam sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya jabatan itu sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang tanpa izin termasuk pelancong asing yang tinggal lebih masa dalam negara.
“Sejak 1 Jan hingga 24 Dis lepas 17,328 operasi penguatkuasaan dilaksanakan dan hasilnya 50,715 pendatang tanpa izin serta 1,251 majikan ditahan,” katanya.
Khairul Dzaimee berkata setiap pendatang asing tanpa izin yang ditangkap akan melalui proses siasatan, dakwaan dan hukuman sebelum diusir ke negara asal.
Beliau seterusnya menyeru orang ramai supaya membantu pihak Imigresen bagi menyalurkan sebarang maklumat tepat mengenai aktiviti pendatang asing tanpa izin supaya tindakan penguatkuasaan dapat diambil, namun mereka diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada beberapa laporan di media sosial hari ini mengenai penubuhan sebuah pasukan sukarelawan bagi membantu memburu pelancong asing yang tinggal lebih lama daripada tempoh yang ditetapkan. – BERNAMA