Agong zahir penghargaan sumbangan sejuta vaksin oleh Jepun
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Jepun atas sumbangan sejuta dos vaksin AstraZeneca bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Sains, Tenologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), YB Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama di antara Kerajaan Malaysia dan Jepun dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin ini.
Bekalan vaksin berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Japan Airline JAL723 pada jam 5.20 petang kelmarin.
Sumbangan ini juga sekali gus menjadikan jumlah vaksin keluaran AstraZeneca yang diterima oleh Malaysia adalah sebanyak 1,828,000 dos sehingga 1 Julai.
Menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, turut menyampaikan ucapan terima kasih Baginda kepada Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Oka Hiroshi, atas kemurahan hati Kerajaan Jepun menyumbang sejuta dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia.
Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.
Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik COVID-19 dan memperhebatkan lagi PICK.
Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.
#ydpa #royal #malaysia #japan #pick #vaksin