Politik

Semua menteri, timbalan kena jayakan program vaksinasi

AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan, pengumuman pakej bantuan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam seharusnya disertakan sekali dengan kerahan semua menteri dan timbalan menteri dalam menjayakan program imunisasi kebangsaan.

Ahmad Shabery, bekas Menteri Persekutuan berpendapat, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya menyerahkan beban itu hanya kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin seorang.

Sebaliknya, kata Ahmad Shaberi, buat ‘mapping’ kerana ada 222 kawasan Parlimen, 70 menteri dan timbalan.

“Seorang baru jaga tiga kawasan. Hampir semua sudah ada kawasan masing-masing. Cuma tambah dua atau tiga kawasan sahaja sorang lagi,” katanya di media sosial Facebook.

Kata Ahmad Shabery lagi, menteri boleh memainkan peranan memanggil pegawai daerah dan kakitangan kerajaan di kawasan berkenaan untuk bertanyakan masalah, mencari jalan, berbincang dan bantu perjalanan rakyat yang jauh untuk pergi ke pusat vaksin.

Kata beliau lagi, setiap kementerian perlu memainkan peranan masing-masing dalam mempercepatkan pemberian vaksin kepada setiap golongan yang terbabit.

Menteri Perladangan, kata Ahmad Shabery, cari setiap pekerja di setiap estet, pekebun kecil atau kawasan Felda.

Menteri Pertanian pula, ujar Ahmad Shabery, pastikan setiap petani, penternak dan nelayan mendapat vaksin.

“Menteri Luar Bandar libatkan semua jentera luar bandarnya kerana isu tak berdaftar dan tak hadir untuk suntikan vaksin ini banyak di luar bandar,” tegasnya.

Beliau berkata, pemberian vaksin juga perlu disegerakan kepada warga asing yang bekerja di negara ini.

“Vaksin bukan sekadar untuk warganegara sahaja tetapi untuk  semua termasuk pekerja ladang, para pekerja kilang yang bukan warganegara atau pendatang Filipina yang berjuta orang di Sabah.

“Kalau mereka ini tidak divaksin, kita juga yang susah,” katanya dengan memberi contoh, pemberian vaksin di Israel turut melibatkan penduduk Palestin yang bekerja dalam negara itu serta yang tinggal di Jerusalem Timur. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button