Politik

Siapa yang sebenarnya derhaka?

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan kepada Yang diPertuan Agong bahawa orang Melayu sudah mula marah kepada YDP Agong kerana darurat, tampil beberapa personaliti menuduh Dr Mahathir derhaka dan ada yang sehingga menyuruh Negarawan itu di tangkap atas tuduhan menghasut.

Mereka ini termasuklah pensyarah UUM Dr Kamarul Zaman Yusof, bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar dan bekas pemimpin DAP Tunku Abdul Aziz.

Ini sangat menghairankan kerana apa yang Dr Mahathir lakukan ialah menyampaikan kepada YDP Agong sentimen yang wujud di kalangan ramai orang Melayu.

Dr Mahathir mahu YDP Agong tahu bahawa Baginda akan dipersalahkan ke atas beberapa tindakan yang dilakukan oleh PM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan pimpinannya kerana mereka mengambil sikap bahawa kesemua yang dilakukan adalah di atas nama YDP Agong.

Apabila ada pihak yang mengkritik atau mencabar tindakan yang mereka lakukan, Muhyiddin dan konco-konconya akan memberi amaran bahawa bangkangan itu adalah satu pengkhianatan dan penderhakaan kepada YDP Agong.

Dalam lain perkataan, mereka menggunakan YDP Agong sebagai perisai untuk mereka melakukan perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan rakyat.

Jika ini berterusan, malahan sedang berlaku, lambat-laun kesemua kesalahan yang dilakukan oleh Muhyiddin dan konco-konconya akan terletak di bahu YDP Agong.

Inilah yang cuba disampaikan oleh Dr Mahathir kepada YDP Agong.

Malangnya, beberapa individu yang menuduh Dr Mahathir sebagai derhaka adalah penderhaka sebenar kerana mereka mahu Muhyiddin dan konco-konconya terus kekal berkuasa dan dapat melakukan semua kemungkaran tanpa perlu bertanggungjawab.

Tindakan mereka mahu menyekat Dr Mahathir bersuara dan menyampaikan kepada YDP Agong perkara sebenar kepada Baginda adalah pengkhianatan sebenar dan mereka perlu bertangkap.

Mereka ini tidak berbeza dengan pengkhianat-pengkhianat yang terdapat di dalam sejarah Raja-Raja Melayu yang lalu. Kerja mereka tidak lain dari mengampu dan berpura-pura mempertahankan Raja-Raja Melayu tetapi sebenarnya mengejar cita-cita dan kepentingan diri.

Mereka ini akan menangkap sesiapa yang membangkang Raja-Raja dan menjalankan hukum pancung, sula dan sebagainya.

Maka Raja-Raja terpelihara dari kritikan dan hidup dengan selesa di dalam istana mereka dengan kepercayaan rakyat menyanjung dan menyayangi mereka.

Akibatnya, apabila kemarahan rakyat membuak-buak dan akhirnya berlaku penentangan terhadap Raja-Raja.

Sedangkan, yang sebenarnya melakukan kejahatan dan penindasan kepada rakyat ialah pembesar-pembesar Istana yang tamak dan mementingkan kedudukan mereka.

Pada hari ini, sekali lagi apabila seorang pemimpin seperti Dr Mahathir tampil untuk menyampaikan kepada YDP Agong perkara yang beliau rasa perlu diketahui oleh Baginda, pengampu-pengampu tampil dengan cepat menuduh Dr Mahathir derhaka dan mahu beliau ditangkap.

Ini tidak ada bezanya dengan apa yang kita baca di dalam lipatan sejarah dan jika kita benarkan pengkhianat-pengkhianat yang telah terus wujud zaman-berzaman, sejarah akan berulang dan institusi Raja-Raja Melayu akan kembali dibenci.

Akhirnya, Dr Mahathir yang mahu mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu kekal di hormati dan disanjungi dituduh derhaka dan penderhaka-penderhaka sebenar akan berjaya merosakkan institusi tersebut.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Ketua PEJUANG Wilayah Persekutuan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button