Kalau takut dengan Covid-19, sampai bila-bila pun kami tak boleh bekerja – Awie
BAKAL mengadakan showcase pada 30 April dan 1 Mei depan, penyanyi, Datuk Awie mengakui persembahan itu adalah untuk menampung kehidupan semua yang terlibat.
Menurut Awie, rata-rata penggiat seni antara golongan yang terjejas teruk berikutan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) sejak setahun yang lalu.
Namun mereka tidak boleh berputus asa sebaliknya perlu terus bekerja kerana mempunyai ahli keluarga yang perlu ditanggung.
“Sebenarnya saya memegang prinsip hidup harus diteruskan. Kami dah ditentukan Allah untuk menjadi pemuzik, penyanyi dan penghibur.
“Jadi, mahu atau tidak, kami perlu bekerja. Melalui penganjuran showcase ini sekurang-kurangnya dapatlah kami membantu pemuzik, pengurus acara dan mereka yang terbabit dalam industri ini secara tidak langsung.
“Memang tidak dinafikan, pendapatan kami terjejas dengan teruk dalam tempoh pandemik ini.
“Biarpun kita lihat angka jangkitan yang tidak menentu tetapi persembahan tetap perlu diteruskan tetapi mengikut SOP yang ditetapkan, asalkan tidak menyalahi undang-undang.
“Kami perlu terus bekerja, jika hendak diikutkan rasa takut sampai bila-bila kami tidak boleh bekerja. Apa yang penting setiap orang yang terlibat perlu menjalankan tanggu-ngjawab dengan sempurna dan mengikut SOP,” katanya.
Dalam pada itu, Awie mengakui teruja untuk bertemu peminat selepas beberapa siri persembahan yang dirancang sebelum ini terpaksa dibatalkan berikutan penularan Covid-19.
Menurut Datuk Awie, dia akan memberikan persembahan yang santai dan menenangkan khas buat peminatnya.
“Saya akan menampilkan persembahan yang paling santai dan sedap di halwa telinga pendengar. Peminat datang untuk menikmati juadah berbuka puasa sambil menonton persembahan, jadi mereka tentunya mahukan muzik yang boleh memberikan ketenangan, bukannya muzik yang boleh membingitkan telinga.
“Untuk persembahan di Kuala Lumpur nanti, saya bersama-sama dengan anggota Wings akan tampil secara akustik.
“Mengenai gimik atau keistimewaan lain pada dua malam berkenaan, kenalah tunggu sehingga malam itu,” katanya.
Showcase Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan anjuran Awie Entertainment dengan kerjasama HS Shazliciious Trading itu bakal berlangsung selama dua hari iaitu pada 30 April bertempat di Hotel Lacrista, Melaka yang akan diringi oleh pemuzik undangan.
Sementara bagi acara di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada tanggal 1 Mei, Datuk Awie akan muncul bersama-sama Wings (Showcase Wings Raikan Ramadan) untuk menghiburkan peminat mereka.
Untuk keterangan lanjut hubungi HS Shazlicious di 019-7695588, Hotel Premiera di 03-26151000, Hotel La Crista 06-2816868 atau Zul Sayap Sayap Wings di 010-2480106. -SM