Nasional

Jangan terlalu ghairah sangat nak beli barang kemas dengan harga murah

SEBANYAK 37 kes penipuan penjualan barang kemas tidak wujud dicatatkan dengan melibatkan kerugian berjumlah RM239,530 untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, jumlah tersebut semakin menghampiri jumlah kes yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu 44 kes.

“Jumlah kerugian yang dicatatkan pada tahun lalu berjumlah RM261,945 dan jumlah tersebut sebenarnya meningkat berbanding tahun 2019 dengan jumlah kes sebanyak 21 dan kerugian sebanyak RM184,444.20.

“Peningkatan jumlah kes ini merupakan satu situasi yang sentiasa dipandang serius dan kita sedang melaksanakan langkah-langkah membanteras dilakukan dengan efektif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zainuddin, peluang perniagaan secara atas talian dengan akses yang mudah dan tanpa had telah menjadikan platform E-Dagang menjadi pilihan pengguna dan aktiviti penipuan.

Ujarnya, orang ramai digesa supaya berhati-hati dalam urusan jual beli barang kemas secara atas talian.

“Jangan mudah percaya dengan tawaran jualan barang kemas yang lebih murah dari pasaran semasa terutamanya melibatkan pihak yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Orang ramai juga boleh membuat semakan pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengena pasti sama ada akaun tersebut terlibat kes penipuan atau tidak,” katanya.

Tambahnya, orang ramai juga boleh berhubung dengan CCD Scam Response Centre menerusi talian 03-26101559/1599 jika mempunyai sebarang keraguan. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button