Lelaki warga Indonesia disyaki pengedar dadah maut terjatuh dari tingkat 7
SEORANG lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh di Jalan Ipoh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku ketika pihaknya membuat serbuan di Flat Batu Permai, Jinjang kira-kira pukul 12.58 tengah hari semalam.
“Ketika serbuan dilakukan, pintu rumah tersebut dikunci dan kelihatan seorang lelaki melarikan diri dari ruang tamu ke arah bilik tidur.
“Selang beberapa minit kemudian, seorang wanita warga Indonesia (isteri lelaki itu) keluar dari bilik berkenaan dan menyerahkan kunci pintu kepada pihak polis.
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit telah tiada di dalam bilik tidur dan tiga keping cermin tingkap bilik itu telah ditanggalkan.
Polis juga tidak menjumpai sebarang dadah di dalam bilik tidur berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beh berkata, pemeriksaan lanjut di ruang tamu telah menemukan keratan plastik lut sinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis Metamfetamine dengan anggaran berat 0.27 gram.
“Polis meneruskan pencarian individu berkenaan serta mendapati dia telah berada di lantai bahagian belakang bangunan berkenaan dalam keadaan terlentang dan dipercayai telah meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat tujuh,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati lelaki itu adalah warganegara Indonesia berusia lingkungan 36 tahun dan hasil pemeriksaan ke atas badannya menemukan untuk alat menghisap dadah serta sepaket dadah di dalam poket seluar suspek. -SM