Singapura kaji sebab terbaik benarkan jururawat pakai tudung
KERAJAAN Singapura sedang melihat sebab-sebab terbaik untuk membenarkan jururawat beragama Islam di negara itu untuk memakai tudung.
Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam memberitahu perkara tersebut dengan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada Selasa lalu di Masjid Khadijah.
Menurut portal Berita Mediacorp, Shanmugam berkata Pemerintah sedang membincangkan isu tersebut dan setelah itu, besar kemungkinan pandangan Kerajaan Singapura akan berubah.
Jelas beliau, perbincangan sedang dijalankan dengan anggota masyarakat dan juga pihak-pihak lain dalam sidang tertutup.
Beliau turut memberitahu Pengerusi Bersama RRG Ustaz Mohamad Hasbi Hassan bahawa kemungkinan pandangan kerajaan akan berubah.
“Saya memberitahu anda dengan terus terang: Kami boleh melihat sebab-sebab yang baik mengapa para jururawat harus dibenarkan memakai tudung jika mereka memilih untuk berbuat demikian.
“Saya berkata bahawa isu ini sedang kami bincangkan. Dan setelah itu, besar kemungkinan pandangan kami akan berubah,” kata Encik Shanmugam.
Selain anggota masyarakat, kerajaan Singapura turut berbincang dengan Majlis Ugama Islam Singapura untuk mengambil kira pandangan mereka dalam hal tersebut.
Tambahnya, pemerintah berunding dengan anggota masyarakat sebelum membuat perubahan.
Beliau juga berkata, “jika anda melihat isu jururawat memakai tudung hanya dari sudut itu sahaja, ia tidak akan menjadi satu isu. Peraturan pasti sudah lama diubah”.
“Tetapi, isu ini berkait dengan faktor-faktor lain. Jadi kami perlu membuat pertimbangan yang teliti. Saya telah menjelaskan apa yang saya maksudkan. Dan kami perlu menilai pertimbangan yang berbeza dan membandingkannya antara satu sama lain dan mencapai satu keputusan,” ujar Encik Shanmugam.
Sementara itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli pada 8 Mac lalu berkata, “Pemerintah memahami” dan hal ini sedang dibincangkan.
“Ia bermakna kami memahami perasaan mereka yang inginkan para jururawat dibenarkan memakai tudung. Ia suatu isyarat bahawa ada fleksibiliti. Beliau tidak berkata ‘tidak boleh’,” jelas Encik Shanmugam.
“Malangnya, banyak salah faham timbul tentang apa yang Menteri Masagos dan Menteri Maliki katakan. Petunjuk yang paling jelas tentang pendirian kami adalah apa yang saya terangkan kepada anda enam bulan lalu,” kata Shanmugam, merujuk kepada sidang tertutup pada 31 Ogos lalu.
Beliau menambah, perbincangan dengan anggota masyarakat sedang diteruskan dan akan “mengambil masa beberapa bulan lagi”.
“Perdana Menteri juga akan bertemu dengan para pemimpin masyarakat. Apabila perbincangan selesai, Pemerintah akan mengumumkan keputusannya,” kata Shanmugam.-SM