Nasional

Ahli KESAPs, KAWIP sertai kayuhan santuni asnaf bersama Raja Muda Perlis

Kelab Sukan Dan Kebajikan Audit Perlis (KESAPs) bersama-sama Kelab Audit Wilayah Persekutuan (KAWIP) Ibu Pejabat Jabatan Audit Negara Malaysia menganjurkan program ‘Kayuhan Amal DiRaja Bersama DYTM Tuanku Raja Muda Perlis’ yang bermula dan berakhir di Maahad Tahfiz Al Hikmah Kg Padang Siding dekat Arau.

Keberangkatan tiba baginda ke program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu disambut oleh Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat), Datuk Hj Johari Ismail dan Pengarah Audit Negeri Perlis, Abd Aziz Che Daud.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Abd Aziz, ‘Kayuhan Amal DiRaja’ bertemakan ‘Sepakat Membawa Berkat’ tersebut memberi pendedahan secara langsung berkaitan pelaksanaan program agihan zakat MAIPs kepada asnaf di negeri Perlis selain daripada dapat melihat sendiri bagaimana Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyantuni rakyat yang baginda amat kasihi khususnya golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.

Tambah beliau, program ini juga memberi pendedahan secara langsung dan juga tidak langsung tentang aktiviti-aktiviti lain yang dilaksanakan melibatkan wang kutipan zakat negeri Perlis terutamanya perbelanjaan di bawah Asnaf Fi Sabilillah di samping berkongsi kefahaman bersama dengan rakan-rakan pegawai dari Jabatan Audit Negara Malaysia tentang keberkesanan agihan zakat yang diterima oleh asnaf dalam meningkatkan taraf ekonomi hidup mereka.

Sempena program yang disekalikan dengan aktiviti rutin ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke 14 bagi tahun ini dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis tersebut, para peserta turut berpeluang mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs menyerahkan bantuan kepada seramai 25 pelajar ketika di maahad tahfiz itu dan 25 orang lagi anak kariah ketika di Masjid Al Mursyid Pauh Guring dari kalangan asnaf, perasmian Pusat Sumber Al Mursyid, menyantuni tiga buah rumah keluarga memerlukan, selain singgah meninjau projek Usahawan Asnaf di Medan Selera MPK Arau, Projek Transformasi MAIPs/YTSP Komuniti Arau, Rumah Warisan Arau, ‘Cuppa’ di Hub Bas Arau, bangunan Centre Of Sunnah MAIPs Arau dan juga sebuah kebun harumanis milik persendirian.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button