Pemandu mabuk langgar kereta polis, ambulans yang sedang beri bantuan kecemasan
SEBUAH kenderaan yang dipandu lelaki mabuk menjadi punca kemalangan melibatkan sebuah kenderaan polis dan sebuah ambulans.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.40 malam tadi.
“Ketika itu, anggota polis dan petugas kesihatan sedang memberi pertolongan kecemasan dan kawalan lalu lintas melibatkan kemalangan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Mercedes yang dipandu seorang leaki telah bergesel dengan sebuah kereta lain jenis Proton Saga.
“Kereta Mercedes itu telah hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang kereta polis yang diletakkan di lorong kanan jalan kerana sedang memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa kemalangan sebelum itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohamad Farouk, akibat hentaman dari arah belakang itu telah mengakibatkan kereta polis menggelongsor ke hadapan dan melanggar sebuah ambulan.
Ujarnya, ambulan itu juga berhenti kerana sedang memberi bantuan kecemasan kepada mangsa kemalangan sebelum itu.
“Kemalangan tersebut telah menyebabkan seorang anggota polis trafik, seorang petugas kesihatan dan seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Ampang,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Farouk juga mengesahkan hasil ujian tahap kandungan alkohol terhadap pemandu Mercedes didapati telah melebih had yang ditetapkan.
Jelasnya, buat masa ini pemandu tersebut yang berusia 28 tahun dan bekerja sendiri telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, pemandu ini kini ditahan reman sehingga 24 Mac depan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya, Inspektor Nurul Faizah Ismail ditalian 019-2863481. -SM