Gelaran ‘Datuk’ Farid Kamil, Boy Iman ditarik balik serta merta
GELARAN Datuk yang dimiliki dua orang pelakon, Farid Kamil dan Boy Iman ditarik balik dan dibatalkan serta merta kerana mempunyai kes di mahkamah.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak berkata, pnarikan balik gelaran Datuk itu berkuatkuasa 1 Februari lalu.
“Kedua-dua gelaran yang diterima Farid dan Boy Iman iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DMP) yang membawa gelaran Datuk ditarik balik dan dibatalkan serta merta.
“Kedua-duanya tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-duanya juga perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan sebelum ini kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah – Darjah
Kebesaran dan Bintang – Bintang Negeri Pahang.
Sebelum ini, pelakon dan pengarah, Farid Kamil menerima darjah kebesaran itu pada 16 Disember 2017.
Turut menerima darjah kebesaran pada hari tersebut ialah artis kelahiran Singapura, Datuk Aaron Aziz.
Sementara itu, Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman juga menerima gelaran pada tahun yang sama. -SM