Buku biografi Tommy Thomas membuka pekung di dada
PENERBITAN buku biografi oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas didakwa mendedahkan pekung di dada berbanding jasa kepada negara.
Ini kerana pendedahan-pendedahan yang dilakukan beliau dalam buku ‘My Story: Justice in the wilderness’ dikatakan sebagai memberitahu kelemahan sendiri.
Pendedahan yang dilakukan termasuklah tindakan mendedahkan konflik politik ketika Februari 2020 yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong sebagai kegagalan beliau sebagai Peguam Negara.
Sebagai Peguam Negara, beliau sepatutnya menyedari hakikat pemisahan kuasa dalam Kehakiman, Perundangan dan Eksekutif.
Justeru, pendedahannya itu menunjukkan beliau kelihatan tidak tegas dalam pendiriannya sebagai Peguam Negara dan mudah dipengaruhi campur tangan politik.
“Biografinya mendedah lebih banyak pekong di dada. Ia bukti, Tommy adalah Peguam Negara lantikan politik.
“Contohnya, dia mengaku tidak mendakwa Zakir Naik (Pendakwah dan penceramah antarabangsa) atas arahan Mahathir (Tun. Dr.) dan lepaskan 12 suspek LTTE setelah dapat izin dari Tun M (Dr. Mahathir).
“Dalam kes Adib, Tommy berkeras tidak mahu dakwa suspek. Pada hal Koroner Rofiah Mohd putuskan kematian Adib adalah perbuatan jenayah yang dilakukan oleh dua atau tiga perusuh yang belum dikenali.
“Hairan juga, kenapa tidak tulis pasal Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP). Kenapa tidak dedah bagaimana kes Guan Eng digugurkan. Mustahil dia tidak rujuk kepada Mahathir sebelum kes itu dibuang.”
Demikian kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, dalam satu kenyataan yang turut mendakwa Tommy sebagai Peguam Negara terburuk dalam sejarah keadilan negara.
Selain daripada itu, antara kes lain yang tular tetapi tidak diambil tindakan atas alasan tidak munasabah adalah isu melibatkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Tommy juga tidak sentuh isu Azmin Ali. Sepatutnya dia bertanya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, betul ke video itu kabur?,” katanya.
Oleh demikian, Mohd. Puad memberitahu beliau bersetuju dengan pandangan bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
“Saya setuju dengan komen balas Dzulkifli bekas boss SPRM. Katanya ‘Tommy yang gagal faham atau confuse antara tanggungjawab beliau sebagai Peguam Negara dan pendakwa raya’.
“Menurut Dzulkifli lagi, ‘Tommy keliru antara tugas menjadi penasihat undang undang kepada kerajaan dengan tugas melindungi dan membela rakyat daripada penjenayah’.
“Maka apa tujuan Tommy mendedah banyak cerita dalam biografinya yang terbaru.
“Apabila dia kata Yang di-Pertuan Agong mahu Wan Azizah (bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.) jadi PM untuk ganti Tun M yang letak jawatan, apakah Tommy menuduh Agong main politik?