Nasional

Kementerian Pendidikan perlu berdialog dengan NGO berkaitan isu pendidikan

Yayasan Pendidikan, Kebajikan dan Penyelidikan (EWRF) mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan perbincangan atau dialog dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dalam  bidang pendidikan di negara ini.

Presidennya, Govindasamy Anamalai berkata, perkara itu perlu untuk membolehkan semua pelajar sekolah dan universiti mendapat pendidikan terbaik dalam keadaan negara dilanda Covid-19.

“Kita menyambut baik inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen, Datuk Jalaluddin Alias yang menyarankan agar ibu bapa mengemukakan pandangan berhubung isu pendidikan ketika Covid-19.

Langkah yang diambil itu merupakan perkembangan yang konstruktif dan sebagaimana ditegaskan oleh Jalaluddin, kita juga ingin mengetengahkan  kebimbangan masyarakat terhadap cabaran pendidikan anak-anak yang kini melalui fasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengakui KPM cuba melakukan sesuatu untuk mengurangkan kesukaran yang sedang dilalui oleh para pelajar di sebalik pandemik Covid-19.

Jelasnya, banyak yang perlu dan boleh dilakukan oleh para pelajar mengikuti PdPR dengan kondusif dan secara berkualiti.

“Perbincangan bersama ibu bapa ini Ini boleh dilakukan secara dalam talian dan EWRF sedia membantu pihak berkuasa memandangkan jalinan kerjasama antara Kerajaan dan NGO amatlah penting.

“Pihak berkuasa tidak mampu melakukan dengan bersendirian, terutama ketika kes jangkitan Covid-19 terus meningkat dan menyusahkan setiap langkah yang diambil oleh pihak kerajaan,” katanya.

Ujarnya lagi, meskipun penggunaan PdPR menggunakan kemudahan teknologi dalam talian sesuatu yang perlu dialu-alukan dan tidak dapat dielak, tetapi kualiti pembelajaran tidak lah setaraf berbanding dengan pembelajaran bersemuka.

“Pandangan umum beranggapan generasi semasa bakal kehilangan pembelajaran berkualiti ekoran impak Covid-19.

“EWRF juga risau sekiranya keadaan ini berterusan dan tiada langkah konkrit dalam masa terdekat ia akan mengugat kemajuan dan pembangunan negara dalam masa jangka panjang,” jelasnya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button