Nasional

YTF tangguh program kepemimpinan wanita

Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) terpaksa sekali lagi menangguhkan penghantaran lima orang calonnya yang terpilih pada tahun lepas ke program tahunan ‘Kepemimpinan Wanita’ tajaan yayasan berkenaan bersama Josai International University (JIU) di Tokyo dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang ditunda ke tahun ini berikutan penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Sebelum ini program tesebut yang sudahpun masuk tahun kelima pada 2020 telah membuka ruang kepada 20 orang para pelajar tajaan YTF untuk mendapatkan pengalaman dan mempelajari budaya, sosial dan cara kepemimpinan Jepun serta masyarakatnya yang terkenal dengan disiplin dan ketepatan masa yang tinggi untuk tempoh di sana selama hampir setahun.

Jawatankuasa YTF juga telah membuat keputusan tidak menawarkan sebarang biasiswa baharu bermula tahun 2021 ini berikutan penularan pandemik ini.

Demikian titah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selepas berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang diadakan secara digital baru-baru ini.

Turut serta ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penasihat DiRaja kepada Yayasan Tuanku Fauziah.

Tambah Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah lagi, mesyuarat YTF kali ini membincangkan berkaitan beberapa perkara termasuklah pembentangan kewangan, laporan biasiswa serta program-program kerjasama tahunan yayasan.

Baginda turut memaklumkan bahawa YTF berhasrat untuk mewujudkan Kad Keahlian Alumni YTF kepada kesemua peserta biasiswanya sebelum ini.

Menyentuh mengenai status Covid-19 di negeri Perlis pula, Tuanku Raja Puan Muda bertitah mengingatkan seluruh rakyat agar terus menerus mematuhi segala SOP keselamatan dan kesihatan sebagai ikhtiar bagi memutuskan penularan wabak tersebut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button