Nasional

Siasatan kes perlekeh Proklamasi Darurat, Azwan Ali dipanggil ke Bukit Aman

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap klip video Azwan Ali yang didapati memperlekehkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, video berdurasi 41 saat itu telah ditularkan oleh pemilik akaun Facebook Zai Mikail pada 12 Januari lalu.

“Kita telah memanggil Azwan Ali ke pejabat Unit Siasatan JenayaH Terkelas (USJT) Bukit Aman bagi membantu siasatan tersebut pada hari ini.

“Siasatan juga akan diteruskan untuk mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang telah memuat naik dan menularkan klip video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam, serta mengganggu gugat keharmonian negara.

Tambahnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu yang sengaja mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button