Bantuan kepada rakyat adalah perlu ketika PKP2.0
RAKYAT dan pemain industri sememangnya memerlukan sokongan dan bantuan daripada kerajaan untuk menghadapi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Walaupun baharu hari kedua, namun tidak dapat dipastikan jika penguatkuasaan ini akan dilanjutkan.
Malah, pakar kesihatan juga memaklumkan, tempoh dua minggu adalah tidak memadai untuk melandaikan lengkungan graf kes baharu jangkitan Koronavirus (Covid-19).
Susulan itu, pelbagai skim termasuk moratorium pinjaman atau bantuan kewangan lain perlu diberikan sepanjang tahun 2021.
“Langkah ini sudah pasti akan mengurangkan beban rakyat, sekali gus membantu mereka dalam menyusun semula rancangan kewangan mereka.
“Kerajaan telah menunjukkan sokongan yang baik untuk golongan berpendapatan rendah.
“Bagaimanapun perhatian juga harus diberikan kepada mereka yang telah dihentikan kerja atau kehilangan pekerjaan.
“Rakyat akan sangat lega sekiranya lebih banyak sokongan dan bantuan diberikan agar mereka dapat meneruskan kehidupan walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan.
Demikian kata Pengerusi Persidangan dan Pameran Asia Pasifik (APAC) dan Majlis Penasihat Anggota (MAC) Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.
Beliau dalam satu kenyataan menjangkakan industri pelancongan dan hospitaliti akan terkesan sekali lagi dalam tempoh PKP ini.
Walaupun, sektor ekonomi itu mula menampakkan pemulihan pada suku terakhir tahun lalu, namun itu tidak menjamin mereka untuk mampu bertahan dalam siri kedua PKP.
“Industri pelancongan dan hospitaliti yang baharu sahaja memperlihatkan fasa pemulihan sejak suku terakhir tahun 2020 perlu dihulurkan bantuan dan sokongan memandangkan perjalanan domestik tidak lagi dibenarkan sepanjang tempoh PKP terbaharu yang sedang dilaksanakan.
“Industri pelancongan juga memerlukan sokongan penuh daripada Kerajaan untuk bangkit semula dan terus menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.
Tambah beliau, PKP kali ini akan memberi kesan kepada ekonomi negara kerana negeri yang terlibat merupakan penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Enam negeri tersebut seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas pelaksanaan PKP pada Isnin lalu.
“Namun begitu, negeri-negeri yang tertakluk kepada pelaksanaan PKP kali ini merupakan antara penyumbang terbesar kepada KDNK di Malaysia.
“Iaitu, 24.2 peratus dari Selangor, 16.9 peratus dari Wilayah Persekutuan, 9.4 peratus dari Johor, 6.7 peratus dari Pulau Pinang, 6.0 peratus dari Sabah dan 3.1 peratus dari Melaka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Irmohizam menyeru kerjasama semua pihak agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya negara bebas pandemik Covid-19 dan ekonomi dapat dipulihkan.
“Untuk mengimbangi semula kegiatan ekonomi dan menjadikan Malaysia bebas dari pandemik Covid-19, kita perlu mematuhi SOP dengan penuh disiplin dan lebih berhati-hati dengan persekitaran kita.
“Menjadi harapan agar kita akan dapat mengatasi situasi yang sukar dan mencabar ini dengan semangat yang lebih kuat,” ujarnya. – SM