Luar Negara
Tanah runtuh di Indonesia mangsa hilang meningkat 27 orang
JUMLAH mangsa hilang dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Jawa Barat Indonesia meningkat kepada 27 orang manakala angka korban kekal 13 orang.
Ketua Unit Kecemasan Pengurusan Bencana Wilayah, Budi Budiman berkata kejadian di kampung Cihanjuan, Kabupaten Sumedang pada Sabtu itu disebabkan hujan lebat.
“Kami telah menerima laporan lebih ramai orang hilang akibat tanah runtuh,” katanya ketika dihubungi Xinhua pada Isnin.
Seramai 18 orang dilaporkan cedera, kata Budiman.
Misi mencari dan menyelamat disambung semula pada Isnin, dan tiga unit peralatan mesin berat telah dihantar ke lokasi kejadian. – BERNAMA