Nasional

Kartel daging didalangi rangkaian luas di luar dan dalam negara

ISU kartel daging yang menyalahgunakan pengesahan logo halal didapati melibatkan rangkaian yang luas serta didalangi sindiket di dalam dan luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap isu kartel daging import ini.

“Berdasarkan jumlah rampasan serta nilainya, tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti ini melibatkan rangkaian yang luas di dalam dan luar negara.

“Ruang lingkup siasatan antara lain akan merangkumi pihak yang terlibat dalam pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyeludupan.

“Kita juga akan menyiasat pihak yang memanipulasi serta membawa masuk daging sejuk beku melalui permit import (AP),” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Huzir, setakat ini sebanyak 13 laporan polis telah diterima daripada orang awam yang melahirkan rasa kegusaran terhadap isu tersebut.

Jelasnya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan dengan agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Siasatan dilakukan setelah isu ini didapati mencetuskan kegusaran kepada rakyat terutamanya melibatkan isu yang menyentuh sensitiviti agama Islam.

“Mencetuskan ketidakpuasan hati dan mengancam ketenteraman dalam negara akibat perdayaan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Menjejaskan imej negara sebagai sebuah hub halal dan memberikan kesan yang besar kepada sektor ekonomi negara,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dan tidak menularkan berita yag tidak sahih di media sosial. -SM

P/s : Suara Merdeka adalah sebuah portal yang bergerak atas inisiatif wartawan yang kehilangan pekerjaan. Sekiranya pihak pembaca berkesudian untuk membantu perjuangan kami, sila klik link ini.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button