Berita

Guru wanita, anak perempuan 5 tahun maut nahas enam kenderaan

KAMPAR 9 Dis. – Seorang guru wanita dan anak perempuannya maut dalam kemalangan melibatkan enam buag kenderaan di Kilometer 294.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat sini hari ini.

Mangsa yang maut ialah Ummu Maisarah Kamaludin, 33, yang meninggal dunia maut di tempat kejadian manakala anaknya, Syaima’ Muhamad Hisyam, 5, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Perdana bersama tiga ahli keluarga lain dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

Suami guru berkenaan yang memandu kereta tersebut, Muhamad Hisyam Zakaria, 35, yang juga Pendakwa Syarie di Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dua lagi anak perempuan mereka, Syurafa’, 2, dan Syifa’, 9, yang duduk di bahagian penumpang belakang tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada pukul 7.10 pagi.

Menurutnya, nahas turut melibatkan sebuah treler dan lori serta kereta jenis Perodua Myvi, Volkswagen Passat dan Honda Civic.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, kemalangan berlaku apabila pemandu Myvi melanggar bahagian belakang sebuah treler lalu berpusing dan berhenti di lorong kanan.

Katanya, ekoran kemalangan itu, sebuah lori yang belum dikenal pasti dan kereta jenis Volkswagen Passat serta Honda Civic memperlahankan kenderaan masing-masing dan menyalakan isyarat kecemasan.

“Setelah itu, kereta yang dinaiki lima sekeluarga tidak sempat mengelak dan melanggar kereta di hadapan.

“Pelanggaran itu mengakibatkan tiga kenderaan di hadapan saling berganjak dan melanggar sesama sendiri di bahagian belakang,” katanya.

Menurut Hasron Nazri, seorang wanita yang duduk di bahagian belakang kereta jenis Proton Perdana disahkan maut di tempat kejadian manakala anak perempuannya yang duduk di bahagian hadapan meninggal dunia di hospital.

“Kedua-duanya meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala dan dada.

“Tiada tangkapan dibuat setakat ini namun siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Perak Gazette

Gambar Media Sosial

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button