Nasional

Raja Perlis titah para sarjana perlu gembeleng pemikiran demi manfaat umah

RAJA Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan bahawa terdapat hal-hal dalam hukum hakam agama yang kita perlu melihat kepada perubahan keadaan manusia dan persekitaran yang ada. Ini terutamanya dalam hukum-hakam muamalat atau urusan antara manusia.

Kita dituntut menilai keadaan semasa yang kita hadapi, dan dalam masa yang sama, Kita melihat kepada warisan ilmu yang luas dari pelbagai aliran yang ada. Inilah yang disebut oleh sesetengah sarjana “menghimpunkan antara warisan lama yang baik dengan perkara baru yang bermanfaat”.

Di situlah datangnya kematangan hukum dan menjadikan fekah itu sentiasa relevan berpijak pada realiti yang ada. Baginda percaya, method pengajian Islam yang berteraskan penghujahan dari Al-Quran dan Sunnah, kemudian mengkaji pendapat-pendapat ulama dan menilai realiti semasa, akan berupaya melahirkan pendapat yang teguh dari segi dalil, realistik dari sudut perlaksanaan, moderate dari sudut sikap dan progresif dari sudut melangkah ke hadapan.

Demikian titah Tuanku Raja Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Pelancaran Fakulti Al-Quran dan Sunnah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang diadakan di Auditorium kampusnya di Kuala Perlis semalam.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor KUIPs.

Related Articles

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Rektor, Datuk Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Haji Othman serta kepimpinan tertinggi kolej universiti milik penuh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenaan.

Tambah Tuanku Syed Sirajuddin lagi, di sudut pembersihan jiwa dan akhlak pula, baginda percaya pengajian Islam yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah akan berupaya membina hubungan rohani yang sebenar dengan Yang Maha Pencipta dan pergaulan baik dengan makhluk yang dicipta. ‘Ilmu kerohanian atau pembersihan jiwa tidak perlu dibaluti dengan teori-teori kerohanian yang bukan-bukan. Akhlak terbaik adalah akhlak Nabi Muhammad S.A.W. Akhlak yang baik itu, teori dan falsafahnya jelas. Tidak dibaluti dengan andaian yang pelik-pelik seperti sesetengah golongan yang terbabas dari Al-Quran dan Sunnah. Pengajian Islam di Perlis perlu jelas dalam hal ini.

Dengan wujudnya pengajian Islam seperti itu, maka diharap ia berupaya mengeluarkan para graduan yang mempunyai akidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, pandangan hukum yang berhujah dan matang, akhlak yang mulia, pemikiran yang seimbang, moderate dan progresif’ tegas baginda.

Sempena majlis tersebut baginda berdua turut berkenan menyaksikan tayangan ‘Montaj Simbolik Penyerahan Watikah Lantikan Rakan Strategik KUIPs’ disusuli dengan lawatan ke Makmal serta menghadiri “Sesi Mock Teaching” bersama para pelajar fakulti baru berkenaan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button