Rencana
Trending

Jalan dekat Klang sesak malam ini, kenapa?

Komentar

BEBERAPA jalan di Klang, Selangor mengalami kesesakan luar biasa menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula tengah malam ini.

Dalam tinjauan Suara Merdeka, beberapa jalan di sekitar kawasan Bukit Raja dan Pusat Bandar Klang mengalami kesesakan.

Lebih teliti, Lebuhraya Persekutuan menghala persimpangan ke Bukit Raja berhampiran pusat beli-belah Aeon sesak teruk.

Situasi sama turut berlaku di beberapa kawasan dalam mukim Klang Selatan seperti di Kampung Jawa, Sungai Kandis dan Taman Sentosa.

Di Lebuhraya Shah Alam pula, kesesakan turut berlaku dari arah Pelabuhan Klang menuju ke Shah Alam sebelum Plaza Tol Kota Kemuning.

Kesemua jalan tersebut mengalami kesesakan luar biasa dipercayai akibat sikap panik penduduk setempat yang mengambil kesempatan untuk keluar dari kawasan PKPB atau pergi membeli barangan keperluan harian.

Malah menerusi maklumat yang diterima daripada kenalan penduduk setempat memaklumkan, orang ramai mula membuat pembelian panik di beberapa pasar raya.

Situasi sedemikian dikatakan berlaku di sekitar Taman Sentosa kerana terdapat banyak pasar raya besar terletak di sana.

Apa masalah sebenarnya?

Bagaimanapun, timbul persoalan besar wajar dilontarkan kepada penduduk setempat mengenai pemahaman mereka terhadap PKPB mengenai perkara yang boleh atau sebaliknya.

Malah, mereka alpa sikap sedemikian menyebabkan risiko penularan Koronavirus (Covid-19) meningkat mendadak.

Ini kerana apabila berlaku kesesakan di pasar raya besar akibat pembelian panik, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pasti tidak terjaga.

Pembelian panik dan orang keluar meninggalkan daerah Klang sepatutnya tidak berlaku kerana objektif utama PKPB adalah membendung penularan pandemik.

Namun hal sedemikian berlaku, hasrat kerajaan negeri untuk membuat ujian saringan bersasar juga pasti sukar mencapai objektifnya.

Hari biasa pun tak bawa ‘sekapal kaum kerabat’ pergi pasar raya

Justeru, tidak sepatutnya berlaku pembelian panik kerana orang awam masih boleh membeli belah ketika berada dalam tempoh PKPB.

Cuma pergerakannya dihadkan kepada dua orang sahaja dalam satu-satu masa dan digalakkan seorang (ketua keluarga) yang keluar.

Situasi sama juga berlaku pada hari biasa, tidak pun membawa ‘sekapal kaum kerabat’ pergi membeli-belah.

SEORANG pengguna Twitter, Miss Jung memuatnaik situasi dekat sebuah pasar raya di Klang sebentar tadi.

Kalau kerana ada ramai anak kecil pun, salah seorang ibu atau ayah boleh keluar untuk pergi membeli belah.

Hal ini dikatakan berlaku sejak kelmarin apabila beberapa pengguna media sosial turut memuatnaik gambar mereka berada di pasar raya menunjukkan situasi ‘panic buying‘.

Kenapa lari dari daerah Klang?

Lagi satu situasi yang tidak patut berlaku adalah apabila penduduk mula meninggalkan kediaman mereka kerana tidak mahu ‘terperangkap’ dalam PKPB.

Ini tidak patut berlaku, kerana apabila mereka berada dalam zon merah dan keluar semata-mata tidak mahu menjalani PKPB akan menyebabkan risiko kepada penduduk di daerah lain.

SESAK luar biasa dekat Bukit Kemuning menghala ke bulatan berdekatan Taman Sentosa, Klang.

Oleh demikian, objektif PKPB juga tidak tercapai akibat sikap ‘cetek akal’ yang mementingkan diri sendiri semata-mata tidak mahu ‘terperap dalam rumah’.

Justeru adalah lebih baik penguatkuasaan terhadap kawasan PKPB diteruskan apabila tempohnya tamat nanti.

Termasuklah pihak berkuasa kesihatan membuat ujian saringan mereka yang pulang ke rumah selepas tamat tempoh PKPB.

Mungkin saringan boleh dibuat secara rawak. Kalau kita sakit hati, biar sakit hati dengan orang yang pentingkan diri sendiri. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button