Nasional

Sekolah Vernakular: Isma sedih menteri Melayu sokong Dong Zong

KENYATAAN kerajaan melalui Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang berkata akan mengekalkan sekolah vernakular terus dikritik.

Ini susulan Ahli Parlimen Tenggera yang dianggap sebagai menteri Melayu itu seperti akur dengan Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Perkara itu dikatakan tidak sepatutnya berlaku dan dinyatakan oleh seorang menteri dalam memupuk perpaduan antara kaum.

“Apalah nak jadi dengan pemimpin Melayu kita. Seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Dan pastinya, kita kecewa dengan pendirian kerajaan yang kita letakkan pengharapan yang tinggi ini.

“Aduhai, sedih sungguh melihat pemimpin Melayuku. Manakah ahli-ahli politik yang dahulunya sama-sama melaungkan agenda mahu sekolah satu aliran selama ini?

“Sebelum ini, kerajaan kata pada Dong Zong yang kerajaan akan bina lebih banyak sekolah vernakular.

“Walaupun dikritik teruk oleh rakyat yang inginkan perpaduan, namun nampaknya kerajaan tidak mengendahkannya.

“Kini keluar pula kenyataan dari Menteri Perpaduan yang memberi jaminan sekolah vernakular takkan dimansuhkan.”

Demikian kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya mengkritik pendirian yang dinyatakan kerajaan.

Kelmarin, Halimah ketika menjawab soalan berkaitan sekolah vernkaluar dalam Dewan Rakyat memaklumkan aliran pendidikan itu tidak akan dimansuhkan.

Katanya, penerapan semangat perpaduan boleh dilaksanakan melalui kaedah lain seperti mendidik nilai Rukun Negara.

Namun, kenyataan sedemikian dikritik ramai pihak yang mempersoal pendirian kerajaan dalam membentuk dan menyemai semangat perpaduan pada peringkat persekolahan.

Ini kerana, tindakan mengekalkan sekolah vernakular itu juga dikatakan hanya memberi kesan jangka pendek tetapi tidak untuk jangka masa panjang.

Dalam pada itu, Aminuddin menambah, cadangan menghapuskan sekolah vernakular adalah sebagai usaha memperkasakan agenda perpaduan nasional.

Menurutnya, laungan kerajaan sebelum ini dalam memperkasakan perpaduan dan menghapuskan sekolah vernakular hanya kekal sebagai retorik politik semata-mata.

“Saya tidak pasti, apakah pendirian Kementerian Perpaduan ini dipengaruhi kuat oleh Timbalan Menterinya dari MCA, iaitu Ti Lian Ker.

“Yang banyak kontroversi melibatkan pendiriannya terhadap perundangan Islam, sekolah vernakular dan sebagainya.

“Tetapi jika ini pendirian dari lubuk hati menteri sendiri, maka ianya sangatlah malang.

“Cadangan menghapuskan sekolah vernakular bukanlah isu perkauman, tetapi sebuah agenda perpaduan nasional.

“Telah banyak kajian yang membuktikan bahawa wujudnya aliran vernakular dalam arus perdana pendidikan negara adalah tidak baik kepada perpaduan nasional.

“Janganlah hanya kerana perkiraan untung-rugi politik parti masing-masing, kita sanggup melangkaui perkiraan masa depan anak bangsa dan negara,” tegasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button