Belang Bertempat

UMNO bak ‘Belanda dapat tanah’?

DIBERI hati minta jantung. Seumpama ‘Belanda mendapat Tanah’. Pepatah itu bermaksud sikap tamak seseorang yang telah diberi sedikit, lalu hendak minta banyak lagi.

Sudahlah diberikan jawatan-jawatan menteri, pendek kata “mati hidup semula lah” selepas buat pertama kali dalam enam dekad kuasa terlepas dari tangan, inikah balasan terhadap Parti Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Memperlekehkan Bersatu, memperleceh gabungan Perikatan Nasional (PN), menyindir Bersatu tidak ada grassroot (akar umbi) dan macam-macam, tapi bukankah Bersatu memberi cahaya kepada UMNO di hujung terowong?

Pepatah Melayu sering mengingatkan adab orang Melayu agar tidak menjadi seperti ‘Belanda Yang mendapat tanah’. Ingatan ini sekadar mengingatkan, anda bukan sahaja lupa budi orang yang memberi ruang tanah tersebut malah bertindak menjajah pemilik asal tanah tersebut pula.

UMNO tanpa Bersatu, akan melukut di tepi gantang. Begitulah sebaliknya.

Ada ketikanya, Belang mengagumi kesatuan kaum Cina untuk mencorakkan politik Malaysia mengikut hasrat yang mereka kehendaki.

Dan tidak ada salahnya orang Melayu mencontohi sentimen seumpama ini. Bak kata pepatah Inggeris: “Imitation is the best form of flattery” (Peniruan adalah bentuk sanjungan yang tertinggi).

Dalam dua pilihan raya lepas terutamanya, corak pengundian kaum Cina tidak dibezakan sama ada seseorang itu Buddha, Taoism dan Kristian. Lebih menarik lagi, ramai mengakui ahli-ahli MCA dan Gerakan turut mengundi parti lain, sekali gus menyebabkan parti yang mereka anggotai kalah teruk.

Di ambang PRU ke-14 lepas, kaum Melayu-Muslim berpecah kepada empat golongan iaitu UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Bersatu dan PKR serta Amanah.

Inilah kelemahan kaum Melayu-Muslim sendiri dalam era moden yang tidak dapat menguruskan perbezaan. Atau barangkali permainan pihak-pihak tertentu yang melaksanakan amalan ‘pecah dan perintah’.

Secara kasarnya dari keputusan PRU-14 boleh dianggarkan UMNO memiliki 42% sokongan kaum Melayu-Muslim, Pas (33%), Bersatu (15% ) dan PKR/Amanah (10%).

Cukup-cukuplah perpecahan orang Melayu selama ini.

Tidak insafkah kita lagi selama lebih 500 tahun orang Melayu dijajah, dihina, dipijak dan diperhambakan. Portugis, Belanda, British, Jepun, Siam, bahkan siapa sahaja terpaksa kita pertuankan.

Setelah sekian lama dijajah dan dihina, kita berjaya membebaskan diri kita semula. Ramai yang terkorban dalam usaha ini. Dato Bahaman, Mat Kilau, Rosly Dobi, Mat Salleh, Dato Sagor dan lain-lain lagi. Tidak kurang berbakti ialah pemimpin-pemimpin seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Ismail, Tun Hussein Onn dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.

Setelah pengorbanan dan perjuangan mereka berhasil apakah kita berhak mensia-siakan kemerdekaan yang diperoleh selepas lima abad ditindas dan diperhambakan?

Pada 1511, Sultan Melaka mungkin berpendapat bahawa kesultanannya akan kekal selama-lamanya. Hari ini kita tahu yang ia tidak kekal. Apakah tidak mungkin kemerdekaan kita juga tidak kekal, bahkan hilang dalam sekelip mata, kerana kecuaian kita?

Belang bukan bertujuan untuk menggemparkan sesiapa. Yang Belang sebutkan ini ialah yang nyata dan berkemungkinan. Kita mungkin tidak akan dijajah semula sepertimana British dahulu menjajah kita. Tetapi penjajahan dan penghinaan ke atas kita boleh dibuat dalam pelbagai cara dan bentuk.

Yang bahananya ialah apabila ‘nilai-nilai hak asasi’ dijadikan gong politik pihak yang mahu meragut perpaduan orang Melayu.

Maka kita orang Melayu pun khuatir dan takut. Kita segan dan mula tunduk. Jangan lupa, bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik – ular apatah lagi, biawak pun ikut.

Ingatlah, bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah ‘kendur berdenting-denting, tegang berjela-jela.’

Kerana itu, sekali lagi Belang ingin ingatkan UMNO jangan jadi macam ‘Belanda dapat tanah’.

Belum stabil lagi kerajaan Perikatan Nasional ini, sudah fikir perebutan jawatan Perdana Menteri, logo dan kerusi bertanding dan ‘segalanya hanya milik Muafakat Nasional (MN)’.- SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button