Jangan heret UMNO dalam polemik siapa Perdana Menteri – Ahmad Zahid
Tumpuan UMNO pada kebajikan dan kepentingan rakyat
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri. Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus utama parti ialah memberi tumpuan bagi memastikan isu-isu berkaitan dengan kebajikan dan kepentingan rakyat yang semakin tertekan dalam menghadapi bebanan hidup pasca Covid-19.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datok berkata, satu lagi fokus UMNO ialah memberi keutamaan kepda sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 13 Julai ini.
“UMNO sedar terdapat usaha yang giat dilakukan untuk menggugat kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin oleh pihak-pihak yang mahu merebut jawatan itu.
“Jadi, kita Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Menteri daripada terus diganggu gugat oleh pihak pembangkang,” kata Ahmad Zahid melalui satu kenyataannya hari ini.
Beliau berkata, semua menteri dan timbalan menteri perlu bersatu hati dengan mengambil tindakan menerusi kementerian masing-masing dalam usaha memulihkan ekonomi negara.
Selain itu, kata Ahmad Zahid lagi, usaha juga perlu dilakukan oleh semua kementerian untuk menjana peluang pekerjaan terutamanya golongan yang terkesan dengan Covid-19.
Seperkara lagi, tegas Ahmad Zahid, UMNO tidak seharusnya diheret sama dalam polemik perbahasan mengenai calon Perdana Menteri malah tumpuan harus diberikan kepada usaha untuk menjaga kepentingan serta kebajikan rakyat. – SM