Politik

PRU-15: Maszlee bayangkan Bersatu tewas di Johor

AHLI Parlimen Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik membayangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu akan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Menurutnya, kemenangan Bersatu pada PRU-14 yang lalu banyak dibantu oleh undi bukan Melayu
kerana lapan kerusi yang dimenangi oleh Bersatu datangnya daripada kumpulan itu iaitu sebanyak 133,550 undi.

“Ternyata di Johor, undi bukan Melayu lebih besar berbanding undi Melayu yang hanya sebanyak 81,150.

“Kesimpulannya di Johor, tahap sokongan undi Melayu untuk Bersatu berada di tahap 29.6% sahaja,” kata Maszlee.

Justeru menurut Maszlee, daripada 8 kerusi yang dimenangi Bersatu pada PRU-14 hanya satu yang dilihat selamat pada PRU-15 iaitu DUN BUkit Kepung.

“Sekiranya Bersatu memilih untuk bersaing sendiri sebagai parti Melayu semata-mata dan tidak memanafaatkan asas pengundi bukan melayu dan pengundi Melayu bukan UMNO-PAS, segmen pasaran Bersatu cuma seramai 81,150.

“Semua sedia maklum, hampir separuh dari undi Melayu ini adalah bekas pengundi tradisi UMNO yang mengundi Bersatu pada PRU14 atas faktor menolak korupsi dan rasuah UMNO, begitu juga dengan faktor Tun Dr Mahathir.

“Tun Dr Mahathir merupakan faktor penting sehingga ramai pengundi tradisional UMNO di Johor beralih kepada Bersatu atau PH sewaktu itu,” kata Maszlee.

Menurutnya undi asas yang ada untuk Bersatu adalah di sekitar 9 peratus undi popular sahaja. Bilangan itu menurut Maszlee tidak cukup untuk memenangkan Bersatu jika berhadapan tiga penjuru hatta jika berhadapan dengan PH sekiranya Dr. Mahathir tidak lagi bersama dengan Bersatu.

Maszlee berkata, dengan 9 peratus undi popular tidak sukar untuk membayangkan senario semua calon Bersatu di Johor yang menurutnya akan hilang deposit pada PRU-15.

Justeru menurutnya, jika kerusi Bersatu cuma mampu menang satu DUN disamping 3 kerusi percuma dari UMNO, bagaimana mungkin Bersatu boleh membuat tuntutan untuk berebut lebih banyak kerusi daripada Perikatan Nasional.

“Apatah lagi untuk memenangkan kerusi tersebut dan menyumbang kepada koalisi PN. Jika berterusan bersama PN, Bersatu akan termaktub dalam buku sejarah sebagai sebuah parti satu musim pilihanraya di Johor.

“Dan bersama PN juga bermaksud Bersatu rela melukut di tepi gantang dengan menobatkan UMNO selamanya sebagai pemerintah Johor.

“Persoalan saya, apakah ini yang dimahukan oleh rakyat ketika mereka mengundi Bersatu dalam PRU 14 yang lalu? Apakah ini juga harapan hali-ahli Bersatu di Johor ketika mereka meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu pada awal penubuhannya dahulu?” tanya Maszlee. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button