Nasional

Tidak perlu lagi dalam penjarakan sosial dalam pesawat

MALAYSIA memutuskan untuk tidak lagi melaksanakan jarakan sosial dalam pesawat setelah mengambil kira standard antarabangsa dan garis panduan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menurutnya, Malaysia sebelum ini adalah antara negara yang melaksanakan jarakan sosial dalam pesawat semasa pandemik COVID-19, manakala ada negara yang melaksanakannya secara bersyarat dengan jarak tidak sampai satu meter.

Beliau berkata IATA tidak mewajibkan jarakan sosial namun secara jelas menggariskan tatacara yang perlu dilaksana termasuk saringan kesihatan, pemakaian pelitup separuh muka serta perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh kru sebelum dan selepas penerbangan.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Wee berkata kementeriannya mengadakan perbincangan “berkali-kali” dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara sebelum mencapai keputusan untuk tidak lagi mengamalkan jarakan sosial dalam pesawat, selaras dengan standard antarabangsa.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan semua pengangkutan awam, bas ekspres, pesawat, perkhidmatan e-hailing, teksi dan kenderaan persendirian kini dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah memakai pelitup hidung dan mulut, memuat turun aplikasi MySejahtera dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

Mengulas lanjut, Wee juga berharap syarikat penerbangan dapat mengurangkan harga tiket yang dilaporkan naik mendadak sebelum ini dengan pembatalan arahan penjarakan sosial dalam pesawat itu.

“Kita (kementerian) tidak boleh campur tangan dalam penjualan tiket tetapi kita minta jasa baik mereka untuk mengurangkan harga tiket,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button